DAMSYIK 7 Feb. – Kumpulan militan Negara Islam (IS) mendakwa serangan udara yang dilancarkan tentera pakatan di Syria mengakibatkan seorang tawanan warga Amerika Syarikat (AS) terkorban, semalam.
IS dalam satu kenyataan yang dimuat turun di laman webnya berkata, warga AS yang dikenali sebagai Kayla Jean Mueller mati selepas tertimbus di bawah runtuhan bangunan, akibat dibedil jet pejuang Jordan di Raqa.
“Pesawat dari tentera pakatan menggugurkan bom di pinggir bandar Raqa selepas selesai solat Jumaat.
“Tiada anggota kami yang cedera dalam serangan itu dan kami dapat sahkan bahawa seorang tawanan AS terkorban,” jelas IS.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak disertakan dengan gambar mengukuhkan dakwaan IS itu.
Keluarga mangsa dalam satu kenyataan memberitahu bahawa Mueller yang merupakan seorang pekerja perubatan ditawan IS pada Ogos 2013 di Aleppo selepas meninggalkan hospital yang dikelola kumpulan sukarelawan, Doctors Without Borders.
Dalam perkembangan sama, jurucakap Majlis Keselamatan AS, Bernadette Meehan berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada dakwaan IS itu benar atau tidak, kerana tiada bukti disertakan.
“Seperti biasa kami akan mengambil berat setiap laporan yang dikeluarkan kumpulan militan tersebut. Tapi dalam kes ini, kami tidak nampak sebarang bukti yang menyokong dakwaan IS,” ujarnya. – AFP
No comments:
Post a Comment