DAMSYIK 18 Mac – Sebuah badan hak asasi manusia mendakwa, tentera Syria menggunakan gas klorin ketika melancarkan serangan ke sebuah bandar di tenggara negara ini yang dikuasai kumpulan penentang, sekali gus menjadi insiden terbaharu kerajaan Syria terlibat dalam jenayah perang.
Amnesty International yang berpangkalan di London semalam berkata, enam sekeluarga terbunuh dalam serangan di bandar Idlib itu.
“Serangan itu membabitkan penduduk awam, termasuk kanak-kanak yang terbunuh akibat sesak nafas,” kata Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Selatan Amnesty International, Philip Luther.
Tiga kanak-kanak, ibu bapa serta nenek mereka terbunuh selepas mengalami sesak nafas berikutan serangan bom yang mengandungi gas klorin di Sarmin, sebuah bandar di tenggara Idlib, kata seorang anggota Pemerhati Hak Asasi Manusia bagi Syria.
Jurucakap tentera Syria menafikan melancarkan serangan itu.
Badan hak asasi manusia itu dalam satu laporan lain semalam berkata, kerajaan Syria melancarkan serangan terhadap sekumpulan militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) pada tahun lalu, menyebabkan lebih 100 penduduk awam terkorban dan memberi ‘petunjuk berlaku jenayah perang’.
Amnesty International juga mentakrifkan serangan tentera Syria pada November tahu lalu di bandar Raqa sebagai ‘serangan kejam’.
Menurut badan berkenaan, serangan udara antara 11 dan 29 November itu telah menyebabkan 115 orang awam terbunuh, termasuk 14 kanak-kanak, dan mengenai sasaran awam termasuk sebuah masjid, sebuah pusat pengangkutan awam, dan sebuah pasar yang sibuk.
Raqa diisytiharkan sebagai ibu negeri ISIL, tetapi Amnesty International berkata, tidak terdapat petunjuk menunjukkan pesawat udara tentera Syria itu mensasarkan militan ISIL.
“Kerajaan Syria berbalah tentang punca serangan-serangan itu, dan enggan menerima kenyataan penduduk awam terbunuh akibat serangan tersebut,’’ katanya.
Dalam perkembangan lain, agensi berita Syria, SANA melaporkan tentera udara negara ini telah menembak jatuh sebuah pesawat pengawasan AS di utara Latakia.
Tentera AS mengesahkan sebuah drone Predator miliknya yang tidak dilengkapi senjata tidak dapat dikesan di barat laut Syria, semalam.
No comments:
Post a Comment