NEW YORK 25 April – Aktres terkenal Amerika Syarikat (AS), Angelina Jolie mengkritik Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana kegagalan menamatkan perang saudara di Syria, selain merayu bantuan kemanusiaan disalurkan kepada pelarian perang dari negara itu.
Sebagai duta khas Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Jolie melemparkan kritikan tersebut selepas mengadakan lawatan ke kem pelarian sebanyak 11 kali untuk menilai situasi semasa rakyat Syria yang terhimpit akibat perang.
Menurutnya, dianggarkan 3.9 juta rakyat Syria menjadi pelarian sejak perang saudara meletus kira-kira empat tahun lalu di negara itu.
“Tujuan PBB ditubuhkan adalah untuk menghalang dan menamatkan konflik, menjadikan negara di seluruh dunia bersatu dan mencari penyelesaian politik serta menyelamatkan nyawa.
“Ternyata kita (PBB) gagal menterjemahkan tujuan itu di Syria,” katanya ketika berucap pada sidang badan dunia itu, semalam.
Jolie turut menyuarakan kemarahannya terhadap kebuntuan untuk menamatkan perang di Syria ketika duta dan menteri saling berbahas tentang krisis kemanusiaan yang menyebabkan negara itu terjerumus ke lembah kehancuran.
Tambahnya, krisis di Syria semakin buruk akibat perbezaan pendapat dan kegagalan masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB menunaikan tanggungjawab mereka.
“Majlis itu sepatutnya bersatu untuk menyelesaikan konflik dan membantu berjuta-juta rakyat Syria yang menjadi pelarian di negara-negara jiran,” katanya.
Majlis Keselamatan PBB terbahagi antara kuasa Barat yang mahu tekanan dikenakan ke atas Damsyik, manakala sekutu kuat Syria iaitu China dan Rusia tidak bersetuju dengan usul tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 60 askar kerajaan Syria terbunuh akibat pertempuran dengan kumpulan penentang di bandar Jisr al-Sughut dekat wilayah Idlib. – AFP
No comments:
Post a Comment