SYDNEY - AUSTRALIA . Australia akan melucutkan taraf kewarganegaraan militan dwinegara jika mereka menyertai peperangan di luar atau menjalankan serangan di dalam negara.
 
Menurut Perdana Menteri Tony Abbott, kira-kira 100 rakyat tempatan negara itu kini sedang berjuang di Syria dan Iraq, disokong 150 pelatih yang berpangkalan di Australia.
 
"Hari ini (semalam) saya mengumumkan Australia akan menggubal undang-undang untuk melucutkan warganegara rakyat negara ini jika mereka terlibat dalam sebarang keganasan di dalam mahu pun luar negara," katanya.
 
Undang-undang baharu dijangka diumumkan beberapa minggu lagi itu, akan mengemas kini Akta Kewarganegaraan menyasarkan pejuang asing dan pengganas di Australia yang berpotensi melancarkan serangan dalam negara.
 
"Kuasa baharu ini akan dikenakan terhadap rakyat dengan dua kerakyatan yang berjuang dengan kumpulan sokongan seperti militan IS, Daesh atau pejuang tunggal di dalam atau luar negara," katanya lagi. - Reuters