WASHINGTON: Pasukan komando tentera AS membunuh seorang pemimpin kanan kumpulan Negara Islam (IS) di Syria dalam satu operasi ketenteraan yang menunjukkan peralihan strategi Washington daripada pergantungan kepada serangan udara.
Komando Delta Force menggunakan helikopter UH-60 Black Hawk dan pesawat V-22 Osprey untuk menyelinap masuk jauh lebih dalam ke timur Syria dari Iraq.
Pasukan itu terbabit dalam pertempuran dengan pejuang IS dan membunuh pemimpin kanan gerakan itu dikenali Abu Sayyaf dan menahan isterinya, kata pegawai AS.
Pegawai berkenaan menyebut, Sayyaf, seorang warga Tunisia adalah komander IS yang membantu menguruskan jualan haram minyak dan gas untuk meraih dana bagi kumpulan itu.
Presiden Barack Obama dikatakan memberi lampu hijau untuk serangan darat itu yang turut membunuh ramai pejuang IS dan misi khas itu sudah dirancang sejak beberapa minggu lalu.
Ia adalah serangan darat pertama daripada pasukan khas AS di Syria selepas beberapa misi gagal tahun lalu untuk menyelamatkan tebusan AS dan pelbagai negara lain yang ditahan IS di utara Syria.
Bimbang AS akan terjerumus lebih dalam konflik Asia Barat, Obama bagaimanapun berjanji untuk tidak meluluskan serangan darat besar-besaran menentang IS yang sudah merampas sebahagian besar Syria dan Iraq.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk membenarkan beberapa serangan operasi khas. - Reuters
No comments:
Post a Comment