ALEPPO - SYRIA. Tentera kerajaan didakwa menggunakan bom tong yang dilaporkan disasarkan ke sekolah, hospital, masjid dan pasar.
 
Sebuah video yang dimuatnaik ke laman video YouTube pada Rabu menunjukkan rakaman askar rejim menolak beberapa buah bom tong dari sebuah helikopter. 
 
Bom tong kebiasannya menggunakan tong dram yang diisi dengan bahan letupan dan serpihan besi bersama fius peledak dan sirip yang akan memandu bom tersebut jatuh ke sasaran.
 
Video tersebut yang dimuatnaik oleh pihak pembangkan, SMO bagaimanapun tidak dapat dipastikan kesahihannya, lapor CNN.
 
Dalam satu temuramah oleh BBC pada Februari, President Syria, Bashar al-Assad menafikan penggunaan bom tong oleh tenteranya.
 
Bagaimanapun, rakaman terbaru yang didakwa diperolehi dari helikopter tentera rejim yang ditembak jatuh membuktikan sebaliknya.
 
Awal bulan ini, kumpulan hak asasi kemanusiaan, Amnesty melaporkan bahawa tentera rejim menggunakan bom tong untuk membunuh dan mencederakan orang awam.
 
Laporan tersebut juga menyebut bahawa lebih 3,000 orang terbunuh di Aleppo disebabkan bom tong.
 
Sebuah resolusi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Februari 2014 melarang penggunaan senjata terlarang di kawasan penduduk yang ramai dan menghentikan serangan terhadap orang awam.
 
Rakaman dari SMO tersebut dilaporkan dirakam bulan ini di kawasan pergunungan Zawiya, Idlib.
 
Beberapa foto dan video yang menunjukkan sebuah helikopter terhempas juga didedahkan oleh SMO kepada media.