Gambar bertarikh 24 Julai lalu yang diedarkan agensi berita Anadolu menunjukkan imej dari video kokpit jet pejuang Turki yang mengebom kedudukan militan IS di sempadan Syria. AGENSI
ISTANBUL 27 Julai – Turki tidak akan menghantar tentera daratnya ke kawasan bersempadan dengan Syria, lokasi yang menjadi sasaran pengeboman Ankara ke atas kedudukan kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam satu kempen yang mampu mengubah keseimbangan di rantau itu.
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu memberitahu sekumpulan pengarang akhbar sebagaimana yang dilaporkan akhbar, Hurriyet, Ankara tidak akan mengerahkan tentera daratnya ke kawasan bersempadan Syria untuk berhadapan dengan IS.
Turki melancarkan serangan merentas sempadan ‘antikeganasan’ dua penjuru ke atas militan IS dan dan Parti Pekerja Kurdis (PKK) selepas meningkatnya beberapa gelombang keganasan di negara ini, dengan melancarkan serangan udara dan artileri.
Tentera Turki semalam melancarkan serangan udara terbaharu ke atas kedudukan militan Kurdis di utara Iraq ketika Ankara meminta satu mesyuarat pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas kempennya menentang kumpulan pemisah PKK dan militan IS.
Davutoglu berkata, serangan Turki ke atas IS dan PKK di Iraq akan mengubah keseimbangan di rantau itu.
Turki, selain itu telah memberikan kebenaran kepada Amerika Syarikat (AS) untuk menggunakan sebuah pangkalan udara utamanya berhampiran Syria untuk mengebom sasaran IS.
Perjanjian untuk menggunakan pangkalan udara Incirlik di selatan Turki dibuat selepas tempoh rundingan sukar selama berbulan-bulan antara pegawai Turki dan AS.
Davutoglu, sementara itu enggan memberikan butiran perjanjian itu tetapi berkata, kebimbangan Ankara, yang memberi tumpuan kepada zon larangan terbang dibuat untuk beberapa perkara tertentu. – AFP
No comments:
Post a Comment