RABU, 30 SEPTEMBER 2015 @ 9:40 AM
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berkata Presiden Syria, Bashar al-Assad perlu berundur jika kumpulan IS mahu dikalahkan ketika beliau mengajak pemimpin dunia bagi memantapkan semula kempen pakatan negara sekutu terhadap kumpulan militan itu.
Sehari selepas bertikai dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, mengenai cara menangani krisis di Syria, Obama menjadi hos sidang kemuncak menangani keganasan di PBB untuk membincangkan serangan udara ke atas pejuang IS di Syria dan Iraq yang sudah berlarutan selama setahun.
"Di Syria...mengalahkan ISIL memerlukan, saya percaya, pemimpin baharu," kata Obama pada pertemuan itu yang diadakan di sisi Perhimpunan Agung PBB.
Russia memperlekeh mesyuarat yang disertai hampir 100 pemimpin itu dengan menghantar diplomat peringkat rendah selepas Putin mencuri perhatian dengan ucapannya di PBB yang mengajak diwujudkan pakatan lebih luas bagi memerangi IS, termasuk penyertaan tentera Syria.
Kedudukan Assad adalah pertikaian utama antara Washington dan sekutu Syria iaitu Russia dan Iran ketika usaha diplomasi ditingkatkan bagi menamatkan peperangan empat tahun itu yang sudah mengorbankan lebih 240,000 nyawa.
Pada sidang kemuncak itu, Obama berkata AS sedia bekerjasama dengan Russia dan Iran untuk "mencari mekanisme politik yang memungkinkan proses peralihan kuasa dimulakan".
AS sudah sekian lama mahu Assad melepaskan jawatan tetapi Obama tidak menyatakan sama ada pemimpin Syria itu boleh mengambil bahagian dalam proses peralihan kuasa itu.
Cadangan supaya Assad berundur dalam proses peralihan kuasa dua fasa itu adalah pilihan yang sedang dibincangkan antara diplomat AS, Russia dan negara Arab Teluk.
Hari ini, Russia akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan PBB bagi menangani ancaman pengganas. - AFP
No comments:
Post a Comment