Wednesday, 23 September 2015

Berang kargo disekat

Reuters
Batrovci (Serbia): Serbia mengancam membalas tindakan Croatia menutup semua perjalanan kargonya susulan kebanjiran pendatang di sempadan antara dua negara berkenaan.

Lebih 30,000 pendatang - kebanyakannya pelarian Syria - masuk ke Croatia dari Serbia sejak Selasa minggu lalu, berikutan Hungary menghalang kemasukan mereka ke Kesatuan Eropah di sempadan selatan dengan Serbia dengan mendirikan pagar.


Menurut Croatia, ia tidak mampu menampung lebih ramai lagi pendatang dengan ribuan pelarian dilihat berjalan merentasi bukit ke kem yang dibuka untuk pendatang, sementara pihak berkuasa menyediakan pengangkutan ke utara Hungary atau barat Slovenia untuk mereka.

Beberapa ribu lagi menunggu di kawasan bebas antara sempadan Sid di Serbia dan Tovarnik di Croatia, malah ada juga yang tidur di tanah perkuburan.

Croatia menutup tujuh daripada lapan pintu sempadan dengan Serbia manakala awal kelmarin mula menghentikan lori daripada memasuki lebuh raya antara Belgrade dan Zagreb - satu daripada dua laluan utama Serbia ke barat.

Tindakan itu mengakibatkan kesesakan lori sejauh 12 kilometer di sebelah Serbia.

Kerajaan Croatia memberi alasan tindakan itu atas sebab keselamatan, namun media tempatan berkata, Zagreb cuba memberi tekanan kepada Belgrade supaya mengekang aliran pendatang di sempadan mereka dengan menghantar lebih ramai lagi ke Hungary di utara atau Romania di timur.

Menteri Dalam Negeri Croatia Ranko Ostojic berkata lewat kelmarin: “Saya rasa kita dapat melihat dengan jelas aliran migran secara terus dari Serbia ke sini.”

Sementara itu, kerajaan Serbia mengadakan mesyuarat tergempar semalam untuk membincangkan tindakan selanjutnya.

Menteri Kehakiman Serbia, Nikola Selakovic berkata: “Tiada penjelasan rasional atau logik untuk menghentikan aliran barangan apatah lagi itu satu daripada laluan utama antara dua negara ini.

“Penutupan laluan itu menyebabkan jutaan kerugian kepada perniagaan Serbia setiap hari.”

Perdana Menteri Serbia Aleksandar Vucic pula berkata: “Tindakan Croatia melanggar pelbagai perjanjian dua hala dan antarabangsa. Jika tidak dihentikan kami tiada pilihan selain menggunakan undang-undang demi kepentingan negara kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:15 AM

SEORANG wanita mendukung bayinya ketika beratur untuk mendaftarkan diri di Opatovac, Croatia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79559#sthash.0MTnteFN.dpuf

No comments:

Post a Comment