|
NICKELSDORF, Austria – Menteri-menteri Eropah Timur mengadakan satu pertemuan semalam bagi merapatkan jurang perbezaan berkaitan dasar imigran masing-masing selepas krisis pelarian di rantau berkenaan bertambah buruk.
Beribu-ribu imigran terkandas hujung minggu lalu apabila pintu sempadan beberapa negara Eropah Timur ditutup.
Beberapa ribu imigran akhirnya berjaya memasuki Austria dengan menaiki bas dan kereta api kelmarin, manakala sekurang-kurangnya 13 pelarian ditemui lemas di perairan Turki.
Kematian itu merupakan korban terbaharu melibatkan imigran yang mahu membina kehidupan baharu di Eropah. Sebahagian besar mereka berasal dari Asia Barat dan Afrika yang dihimpit konflik.
Rundingan semalam melibatkan menteri luar dari Republik Czech, Hungary, Poland, Slovakia, Romania dan Latvia bersama rakan sejawat mereka dari Luxembourg yang kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU).
Sementara itu, enam kanak-kanak antara yang maut dan dua lagi hilang di perairan Turki selepas bot getah yang membawa mereka ke Greece berlanggar dengan sebuah kapal, lapor media Turki.
Bot itu dipercayai membawa sekurang-kurangnya 46 imigran ke Pulau Lesbos yang merupakan salah sebuah pulau di Greece yang dibanjiri berpuluh-puluh ribu imigran dari Asia Barat serta Asia Selatan sejak beberapa bulan lalu.
“Keadaan gelap menyebabkan kami hanya dapat melihat sebuah kapal merempuh kami. Kami cuba memberi isyarat menggunakan lampu suluh dan telefon bimbit tetapi mereka gagal melihat kami.
“Ramai imigran tercampak ke laut. Kami kehilangan ramai kanak-kanak. Kejadian berlaku dalam keadaan gelap,” kata seorang mangsa yang terselamat, Haseen.
Lebih 2,800 orang maut daripada kira-kira setengah juta pelarian yang berani mengharungi perjalanan berbahaya merentasi Laut Mediterranean untuk ke Eropah pada tahun ini, menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3mPid4ZKw
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment