PELARIAN Islam Syria cuba berpaut pada sebuah bot yang sesak dengan penumpang selepas mereka tiba di kepulauan Lesbos, Greek selepas menyeberangi sebahagian Laut Aegean Sea dari Turki, semalam. - REUTERS
BERLIN 25 Sept. – Kerajaan Jerman semalam bersetuju untuk menyalurkan dana berjumlah 4 bilion euro (RM19.6 bilion) kepada 16 negeri di negara ini pada tahun depan bagi membantu pihak berkuasa tempatan menangani kebanjiran pelarian.
Canselor Jerman, Angela Merkel membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua menteri bagi membincangkan langkah membantu negeri-negeri yang bergelut menerima kebanjiran seramai 800,000 pencari suaka pada tahun ini sahaja.
Merkel berkata, kerajaan akan memperuntukkan kepada setiap negeri sebanyak 670 euro (RM3,294) setiap bulan bagi setiap pencari suaka yang mereka ambil.
Menurut sumber Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), pakej itu bersamaan kira-kira 4 bilion euro (RM19.6 bilion) selepas mengambil kira bayaran tambahan untuk menyediakan perumahan sosial dan menjaga pelarian muda.
Kerajaan sebelum ini berjanji untuk menawarkan kepada setiap negeri terbabit sebanyak 3 bilion euro (RM14.7) pada tahun depan bagi membantu kos tambahan perumahan dan penjagaan pelarian dan pencari suaka.
Rakyat Jerman dilaporkan berbeza pendapat berhubung jumlah ketibaan pelarian baharu dengan ada yang menyambut baik kedatangan pelarian dari Asia Barat dan Afrika, manakala selebihnya bimbang bagaimana mereka akan dapat hidup bersatu padu.
Kesatuan Eropah (EU) dalam perkembangan berasingan akan menggunakan kapal perang mereka bagi menahan pihak yang terlibat dalam pemerdagangan manusia di perairan antarabangsa. – REUTERS/AFP
No comments:
Post a Comment