Saturday, 5 September 2015

Kanak-kanak imigran mangsa lemas dikebumi


AFP - ABDULLAH (kanan) dilihat sugul semasa mengebumikan jenazah salah seorang anaknya di sebuah tapak perkuburan di Kobani, Syria semalam.


DAMSYIK – Bapa kepada dua anak lelaki yang lemas di perairan Turki dalam tragedi yang menyayat hati masyarakat dunia mengebumikan anak lelakinya, seorang lagi anak dan isterinya dalam satu upacara pengebumian di bandar Kobani di sempadan Syria semalam, kata seorang saksi.
“Aylan Shenu, abangnya dan ibu mereka dikebumikan hari ini (semalam) di Kobani di hadapan orang ramai. Semua orang sedih dan ada yang menangis, kata seorang wartawan tempatan, Mustefa Ebdi yang turut menghadiri pengebumian itu.
Menurut Mustefa, ketiga-tiga mereka yang berketurunan Kurdis cuba menuju ke Greece dengan menaiki sebuah bot dari Turki.
Aylan yang berusia tiga tahun dan abangnya, Ghaleb, 4, serta ibu mereka, Rihana ditemui mati lemas di perairan di Turki pada Rabu lepas semasa cuba memasuki Eropah dengan menyeberangi Laut Aegean.
“Bagaimanapun, bapa mereka, Abdullah Kurdi terselamat dan kelihatan putus asa serta sugul semasa berucap dalam satu perhimpunan yang dihadiri beratus-ratus orang,” kata Mustefa.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa ekoran tragedi ini. Saya hanya menyalahkan diri sendiri. Saya perlu membayar harga untuk ini (kehilangan anak-anak dan isteri) sepanjang hidup saya,” katanya.
Menurut Abdullah, dua anaknya cuma segelintir daripada begitu ramai mangsa konflik di Syria yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
Sehubungan itu, dia merayu supaya jalan penyelesaian konflik tersebut dicari.
Sementara itu di Hungary pula, lebih 1,000 imigran yang terkandas selama berhari-hari di sebuah stesen kereta api utama di Budapest bertindak meninggalkan bangunan itu dengan berjalan kaki untuk menyeberangi sempadan Austria, kata seorang wartawan di lokasi kejadian.
Kumpulan imigran termasuk individu berkerusi roda dan tongkat sanggup meredah perjalanan sejauh 175 kilometer untuk memasuki negara Eropah tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3koLRIYmr 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment