Bashar al-Assad
VIENNA 24 Okt. – Arab Saudi, Turki, Rusia, dan Amerika Syarikat (AS) semalam gagal mencapai persetujuan berhubung nasib politik Presiden, Bashar al-Assad semasa satu pertemuan yang diadakan bagi meneroka kemungkinan konflik selama lima tahun di Syria dapat dihentikan.
Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengesahkan empat negara itu yang diwakili oleh diplomat tertinggi negara masing-masing akan meneruskan perbincangan mengenai Syria, menurut laporan yang memetik agensi berita Rusia.
Setiausaha Negara AS, John Kerry, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, Menteri Luar Turki, Feridun Sinirlioglu dan Adel terlibat dalam perbincangan yang banyak membincangkan nasib Bashar, lapor portal Al Jazeera.
Ketika Moscow percaya Bashar perlu kekal dalam sebahagian daripada proses politik berkenaan, pihak lain beranggapan pemimpin Syria itu perlu berundur bagi menamatkan perang yang setakat ini meragut lebih 250,000 nyawa.
Moscow pada masa sama mengumumkan penglibatan Jordan dalam menyelaras operasi serangan udara mereka di Syria.
Kerry dalam pada itu berkata, beliau berharap akan dapat mengadakan satu lagi perbincangan yang lebih meluas mengenai Syria seawal-awalnya 30 Oktober ini.
“Apa yang telah kita persetujui hari ini adalah untuk berunding dengan semua pihak terlibat dan berhasrat untuk bersidang semula seawal Jumaat depan bagi mencari titik persamaan dalam meneruskan proses politik yang bermakna,’’ kata Kerry.
Lavrov sementara itu mahu kumpulan rundingan tersebut turut melibatkan pemain serantau yang penting seperti Iran yang turut menyokong Bashar.
Bagaimanapun, Kerry buat masa ini menolak penglibatan Teheran dalam rundingan itu.
“Buat masa ini, Iran tidak terlibat dan akan tiba masa mungkin kita bercakap dengan Iran, namun bukan sekarang,’’ tegas Kerry. – AGENSI/AFP
No comments:
Post a Comment