Wednesday 21 October 2015

Serangan Russia ragut 45 nyawa

Agensi
Beirut: Serangan udara Russia menyebabkan puluhan penduduk di barat laut Syria terbunuh, termasuk seorang ketua kumpulan penentang yang pernah berkhidmat dengan tentera Presiden Bashar al-Assad.

Kumpulan Pemerhati Syria bagi Hak Asasi berkata, serangan yang bermula petang Isnin lalu dan berlarutan selama beberapa jam mencederakan puluhan yang lain, menjadikannya serangan paling buruk sejak Russia mula melancarkan serangan udara hampir tiga minggu lalu.


Sejak serangan udara itu bermula, tentera Syria dan sekutu mereka, anggota Hizbullah dari Lubnan dan militan Syiah dari Iran, turut melancarkan serangan darat di utara, tengah dan selatan Syria serta kawasan pinggir Damsyik, menawan beberapa kawasan yang sebelum ini dikuasai penentang.

Ketua kumpulan pemerhati itu Rami Abdurrahman berkata, sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh di Jabal al-Akrad, daerah di wilayah Latakia.

Daerah itu sebelum ini dikuasai penentang.

Sebuah lagi kumpulan pemerhati, Jawatankuasa Penyelaras Tempatan berkata, 57 orang terbunuh di wilayah itu kelmarin, kebanyakannya akibat serangan Russia.

Kedua-dua kumpulan berkenaan berkata, antara yang terbunuh ialah Basel Zommo, panglima Divisen Satu Pantai.

Basel adalah pegawai dalam tentera Bashar sebelum berpaling tadah menyertai kumpulan penentang beberapa tahun lalu.

“Tentera Russia memusnahkan semua kubu sebelum melancarkan serangan ke atas Jisr al-Shughour,” kata Rami, merujuk kepada bandar di barat laut Latakia yang ditawani penentang awal tahun ini.

Kumpulan itu yang memperoleh sumber daripada rangkaian aktivis di Syria berkata, ratusan serangan udara Russia sepanjang tiga minggu lalu menyebabkan 370 orang terbunuh, 36 daripadanya kanak-kanak dan 34 wanita.

Serangan itu turut mengorbankan 243 anggota pelbagai kumpulan penentang, termasuk Negara Islam dan sekutu al-Qaeda di Syria, Barisan al-Nusra.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 6:53 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86729#sthash.EOZQ9lmW.dpuf

No comments:

Post a Comment