Slovenia menggunakan kereta perisai dan polis antirusuhan bagi mengawal ribuan pelarian yang tiba di sempadan negara itu dari negara jiran, Croatia dan Hungary, kelmarin. AGENSI
LJUBLJANA 23 Okt. - Slovenia menggunakan kereta perisai dan polis antirusuhan bagi membantu mengawal kebanjiran pelarian yang tiba di sempadan negara ini dari negara jiran, Croatia dan Hungary.
Lebih 12,000 pelarian telah memasuki Slovenia dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan ribuan lagi dijangka tiba dalam masa terdekat selepas Hungary menutup pintu sempadannya dengan Croatia pada Jumaat lalu.
Mail Online melaporkan, pela-rian itu dilapor bertempur dengan polis di pintu sempadan Serbia, hari ini dan seorang lelaki ditikam dalam satu lagi keganasan yang berlaku di pintu masuk Slovenia.
Polis bergelut untuk mengawal keadaan di kawasan pengumpulan pelarian di luar pintu sempadan antara Austria dan Slovenia dengan kumpulan itu bertindak meluru setiap kali mereka dipisahkan untuk ditempatkan di dalam bas.
Pelarian turut memerlukan bantuan perubatan selepas mereka tercedera dalam keadaan kelam kabut itu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang diberikan rawatan akibat cedera di kaki.
Seorang anggota polis yang menggunakan pembesar suara menggesa pelarian supaya bersabar sementara menunggu menaiki bas dengan memberi amaran: ‘Jika anda membuat masalah, kami akan mendatangkan masalah’.
Sementara di dalam Slovenia, lebih 1,000 pelarian menunggu untuk dibenarkan masuk, sama ada untuk memohon suaka di Austria atau meneruskan perjalanan ke negara Eropah lain.
Pihak berkuasa mendakwa mereka tidak boleh menerima lebih daripada 2,500 pelarian setiap hari dan menuduh Croatia menghantar terlalu ramai pelarian.
Dalam perkembangan berasingan, Hungary semalam menawarkan bantuan untuk menghantar pelarian kembali ke Turki, sekiranya mereka dinafikan suaka oleh negara-negara Eropah.
“Jika perlu, kami bersedia membenarkan kereta api untuk menghantar pelarian di negara-negara Eropah kembali ke Greece atau Turki melalui wilayah kami,’’ kata Menteri Dalam Negeri Hungary, Nebojsa Stefanic. – AGENSI/AFP
No comments:
Post a Comment