Saturday, 28 November 2015

'Jangan main api'

Istanbul: Presiden Turki Tayyip Erdogan memberi amaran kepada Russia supaya tidak ‘bermain api’ dan pada masa sama menegaskan dia tidak mahu menjejaskan hubungan dengan Moscow.
Kennyataannya itu dilihat mungkin lebih menyemarakkan kemarahan Moscow berhubung peristiwa menembak jatuh pesawat Russia di sempadan Syria, awal minggu ini.
Hubungan antara bekas musuh zaman Perang Dingin itu terjejas sejak kejadian itu dan Russia mengancam tindak balas ekonomi terhadap Ankara yang disifatkan Erdogan sebagai ‘mengikut emosi’ dan ‘tidak wajar.’
Ketika berucap di Bayburt, timur laut Turki, Erdogan berkata: “Saya ingin ingatkan kepada Russia supaya Russia tidak bermain api.
“Kami memandang penting hubungan baik dengan Russia. Kami tidak mahu hubungan itu terjejas dengan apa cara sekalipun.”
Katanya, dia mungkin menemui Presiden Russia Vladimir Putin pada satu sidang kemuncak di Paris minggu depan, langkah yang diterima baik Amerika Syarikat (AS) serta Kesatuan Eropah (EU) yang bimbang pertelingkahan antara dua negara terbabit akan menyebabkan matlamat memerangi Negara Islam (IS) di Syria tersasar.
Setakat ini, Putin enggan menghubungi Erdogan berikutan keengganan Ankara memohon maaf atas kejadian itu, kata pembantu Putin, Yuri Ushakov, semalam.
Erdogan mendakwa jet itu ditembak jatuh sesuai dengan pelaksanaan peraturan pertempuran.
Sementara itu, Speaker dewan rakyat Russia, Sergei Naryshkin semalam berkata, Moscow mempunyai hak melakukan tindak balas ketenteraan, malah menyifatkan kejadian itu sebagai ‘pembunuhan tentera kami di peringkat antarabangsa.’
Sementara itu, Perdana Menteri Turki Ahmed Davutoglu berusaha meredakan ketegangan dengan Moscow.
Walaupun langkah mempertahankan wilayah kami tetap akan menjadi tumpuan, Turki akan bekerja sama dengan Russia dan sekutu kami yang lain untuk meredakan ketegangan,” katanya dalam tulisannya di akhbar The Times di London.
Dia bagaimanapun mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa tindakan menembak jatuh pesawat yang tidak dikenali di ruang udara Turki tidak ditujukan ke sebuah negara khusus.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:17 AM


PENUNJUK perasaan membawa sepanduk tertulis “Putin, Pembunuh!! Nyah dari Syria" ketika bantahan terhadap Russia di Fatih, Istanbul selepas solat Jumaat, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96351#sthash.MpV6Z2F9.dpuf

No comments:

Post a Comment