MOSCOW 29 Nov. – Tiada petanda menunjukkan kemelut Rusia-Turki akan reda apabila Presiden, Vladimir Putin semalam mengumumkan sekatan ekonomi terhadap Turki ekoran insiden sebuah pesawat pejuang milik Moscow ditembak jatuh negara itu pada Selasa lalu.
Berdasarkan dekri yang ditandatangani Putin itu, sekatan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat Syria selain menetapkan larangan terhadap penerbangan tertentu antara kedua-dua negara.
Selain itu, berdasarkan sekatan yang berkuatkuasa pada 1 Januari ini, syarikat Rusia dilarang mengambil rakyat Turki sebagai pekerja dan sekatan import dikenakan terhadap beberapa jenis produk Turki.
Putin turut mengarahkan kerajaan untuk menyiarkan senarai barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan sekatan bagi memastikan langkah berkenaan memberi kesan kepada ekonomi Turki.
“Syarikat pelancongan Rusia dilarang memperkenalkan produk dari Turki kepada rakyat negara ini, termasuk melancong ke negara berkenaan.
“Sebagai tambahan, pihak berkuasa Rusia berhak meningkatkan tahap pemeriksaan dan kawalan terhadap syarikat penerbangan Turki sebagai langkah keselamatan,” jelas dekri itu.
Langkah terbaharu itu merupakan gelombang kedua sekatan yang dilancarkan Rusia terhadap ekonomi Turki selepas Moscow menangguhkan beberapa projek kerjasama ekonomi, sekatan transaksi kewangan, dan perdagangan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dmitry Medvedev, kelmarin.
Malah rakyat Turki buat pertama kali perlu memohon visa untuk berkunjung ke Rusia selepas Menteri Luar, Sergei Lavrov mengumumkan langkah berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, mayat juruterbang Su-24 Rusia, Oleg Peshkov diserahkan kepada pihak berkuasa Rusia, hari ini.
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, satu acara pengebumian mengikut adat Kristian turut diadakan untuk mendiang sebagai menghormatinya.
Peshkov sempat melentingkan diri semasa jetnya ditembak pesawat Turki dalam kejadian pada 24 November lalu. – AFP
No comments:
Post a Comment