Monday 9 November 2015

Militan Syria guna gas mustard


AFP - GAMBAR fail pada 15 September lalu menunjukkan sukarelawan berlatih menggunakan topeng gas sebagai persediaan menghadapi serangan gas beracun di bandar Aleppo, utara Syria.


BEIRUT – Sejenis gas beracun dikenali sebagai mustard digunakan ketika pertempuran antara kumpulan militan di Syria, kata pemerhati senjata kimia antarabangsa semalam.
Menurut Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), gas yang boleh membawa maut itu digunakan di Marea yang terletak di wilayah selatan Aleppo pada 21 Ogos lepas.
“Kami mengesahkan penggunaan bahan kimia tersebut tetapi belum dapat menentukan kumpulan yang bertanggungjawab,” ujar sumber.
Dakwaan kumpulan militan menggunakan senjata kimia semakin meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di Iraq dan Syria.
Ia diakui oleh pemberontak Syria dan kumpulan penyelamat apabila berpuluh-puluh orang awam terjejas dengan serangan kimia di Marea pada akhir Ogos lepas.
Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menyatakan mereka telah me­rawat empat orang penduduk awam daripada sebuah keluar­ga.
Pesakit berkenaan yang dirawat di hospital MSF di Aleppo memberitahu, sebutir peluru mengenai rumah mereka dan letupan tersebut mengeluarkan gas berwarna kuning ke seluruh rumah.
Sementara itu, kumpulan pemberontak, Jund al-Aqsa dilaporkan berjaya merampas bandar yang diduduki tentera kerajaan yang ter­akhir di laluan antara Aleppo dan Hama.
“Mereka telah menguasai sepenuhnya bandar Morek selepas berlakunya pertempuran sengit,” ujar kenyataan kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3qwXMGkxC 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment