Friday, 27 November 2015

Rusia hantar peluru berpandu dekat Turki


SEBUAH trak membawa sistem peluru berpandu S-400 milik Rusia dalam satu perarakan tentera di dataran Red Square, Moscow. - Agensi


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan supaya sistem pertahanan udara di hantar ke utara Syria dan memberi amaran kepada pelancong agar tidak melawat Turki ketika beliau mencari jalan untuk membalas dendam berikutan sebuah jet pejuang Moscow ditembak jatuh oleh Ankara, lapor akhbar Independent semalam.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, Moscow tiada niat untuk berperang dengan Turki tetapi menyifatkan serangan itu satu provokasi terancang.
Rusia terus mempamerkan kekuatan tenteranya dengan mengerahkan sebuah kapal peluru berpandu bergerak ke perairan Latakia, utara Syria. Lokasi itu terletak berdekatan dengan sempadan Turki.
Moscow turut menghantar sistem pertahanan udaranya yang paling canggih, S-400 ke sebuah pangkalan udara Syria yang terletak kira-kira 48 kilometer dari sempadan Turki. Peluru berpandu S-400 mempunyai jarak sejauh 400 kilometer dan dengan mudah dapat menyerang sasaran di Turki.
Terdahulu, Turki yang disokong oleh Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara menegaskan bahawa pihaknya mengeluarkan sebanyak 10 amaran dalam tempoh lima minit sebelum menembak jatuh pesawat Sukhoi-24 milik Rusia itu.
Satu rakaman audio yang disiarkan media Turki memaparkan tentera negara itu sebagai berkata: “Ini tentera udara Turki bercakap. Berjaga-jaga kerana kamu menghampiri ruang udara Turki.”
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, negaranya tidak mengetahui kewarganegaraan pesawat yang ditembak jatuh itu sehingga Moscow mengumumkan jet itu milik Rusia.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula menepis dakwaan Rusia bahawa pesawat itu sedang dalam misi antikeganasan apabila ditembak.
“Jangan memperbodohkan diri sendiri kerana tiada pejuang kumpulan Islamic State di kawasan yang diserang (jet Sukhoi-24 tersebut),” kata Erdogan.
Menjelang insiden tersebut pada 24 November lalu, pesawat-pesawat Rusia berterusan melancarkan serangan di wilayah Latakia yang menjadi medan pertempuran sengit.
Tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad yang disokong oleh militan Iran dan Rusia bertempur dengan pejuang Turkmen yang berbangsa Turki dengan sokongan Ankara.
Militan Turkmen merupakan sebahagian daripada kumpulan penentang Bashar yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3sddXj4rg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment