SELASA, 24 NOVEMBER 2015 @ 7:30 PM
KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat memintanya membuka jaringan di Syria bagi memudahkan perjalanan rakyat Malaysia ke negara itu.
Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal, 24, yang pernah ditahan di Beirut, Lubnan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, berkata Yazid memberitahunya bahawa bila sampai di Syria, jangan terus berperang tetapi membuka jaringan untuk rakyat Malaysia.
"Semasa sarapan pagi ketika siri usrah yang dihadiri saya dan Razif Mohd Arif di rumah Yazid, Razif ada menyatakan hasrat untuk ke Syria kepada Yazid.
"Yazid beritahu kami jika sampai di sana, jangan terus berperang sebaliknya buka jaringan kepada rakyat Malaysia lain untuk pergi ke Syria," katanya pada perbicaraan kes Yazid, 51, dan pembantu kafetaria, Muhammad Hilmi Hasim, 35, yang didakwa terbabit dalam kegiatan menggalakkan keganasan.
Yazid didakwa terhadap dua pertuduhan menggalakkan keganasan dengan niat menghasut orang awam di Syria dan menjadi anggota kumpulan Tanzim Al Qaeda Malaysia manakala Muhammad Hilmi dituduh bersubahat dengannya.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013 mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Muhamad Razin berkata, tujuannya ke Syria adalah untuk berjihad melalui peperangan bagi menentang kezaliman tentera Bashar Al-Assad, iaitu Presiden Syria, terhadap rakyat negara itu yang ditindas.
Katanya, beliau menjadi lebih bersemangat untuk berjihad di Syria selepas menghadiri lima siri usrah yang diadakan di rumah Yazid pada 7, 14, 21, dan 28 Julai 2012 serta 4 Ogos 2012.
"Kandungan yang disampaikan Yazid dalam usrahnya telah menyuntik semangat saya untuk bergerak dan berjihad di Syria kerana tidak mahu menjadi orang munafik. Yazid memberitahu antara sifat munafik ialah orang yang tidak mahu pergi berperang dan tidak suka kepada orang yang ingin berperang," katanya.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusoff sama ada beliau pernah menjalani latihan ketenteraan sebelum itu, Muhamad Razin menjawab tidak pernah tetapi tujuannya ke negara bergolak itu adalah untuk menjalani latihan ketenteraan.
Mengenai penerbangannya ke Turki, saksi pendakwaan ke-25 itu berkata beliau dan Razif mengambil penerbangan ke Turki pada 12.30 malam 3 Oktober 2012 dan tiba di Istanbul, Turki pada 7 pagi keesokannya.
Muhamad Razin berkata, setibanya di Istanbul, Razif menghubungi seorang lelaki Syria yang dikenali sebagai Abu Hassan dan menemuinya di sebuah kedai roti sebelum membawa mereka mencari hotel bajet.
"Pada malamnya, Abu Hassan datang berjumpa kami dan berbincang mengenai senjata. Abu Hassan beritahu jika kami hendak membeli senjata, dia boleh menguruskannya dan senjata itu akan diperoleh di Syria," katanya yang membawa wang sebanyak RM2,000 ke Syria.
Bagaimanapun, Muhamad Razin berkata pada 5 Oktober 2012, mereka ditahan pihak berkuasa Turki sebelum diusir keluar dari negara itu dan seterusnya pergi ke Lubnan pada 10 Oktober 2012.
Ketika di Lubnan, katanya mereka ditahan pula oleh pihak berkuasa Lubnan dan dituduh di Mahkamah Tentera negara itu dengan empat pertuduhan tetapi mereka didapati bersalah terhadap dua pertuduhan dan dihukum penjara empat tahun bermula 18 Oktober 2012.
Beliau kini dibebaskan tetapi hanya mengingati tiga pertuduhan terhadap mereka iaitu menganggotai kumpulan pengganas Jabhah Al-Nusra, cuba memiliki senjata api tanpa lesen dan cuba menyeludup senjata.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Azman Husin bersambung 20 Januari tahun depan.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment