Sunday, 13 December 2015

Bashar bertegas enggan berunding


BEIRUT – Presiden Syria, Bashar al-Assad menegaskan tidak akan berunding dengan kumpulan bersenjata sekali gus bakal merosakkan rundingan damai yang dicadangkan oleh Rusia dan Amerika Syarikat pada bulan depan.
Washington kini berusaha menjadi orang tengah dalam satu perjanjian yang bakal diadakan pada Khamis ini bersama lebih 100 ahli parti pembangkang Syria dan sejumlah anggota kumpulan pejuang yang disokong oleh Barat iaitu Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Setiap mereka dicadang membentuk satu pasukan bersama untuk bertemu wakil kerajaan Syria di bawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.
Inisiatif itu diharap dapat membantu menewaskan musuh bersama iaitu militan Islamic State (IS) yang kini telah merampas sebahagian besar Syria dan Iraq.
Dalam satu temu bual dengan agensi berita Sepanyol, EFE, Bashar berkata, beliau tidak akan mengadakan rundingan politik dengan mana-mana kumpulan bersenjata dan menuduh Washington dan sekutunya, Arab Saudi cuba membawa pengganas dalam rundingan damai.
Beliau berkata, Syria hanya akan menerima rundingan dengan syarat meletakkan senjata atau menyertai kerajaan atau kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Tidak ada gunanya pertemuan di New York atau di mana sahaja jika masih wujud kumpulan pengganas. Bagi kami di Syria, semua orang yang memegang mesingan adalah pengganas,” katanya.
Menteri-menteri luar bagi negara yang menentang Bashar akan bertemu di Paris pada Isnin ini sebagai persiapan rundingan dengan Rusia dan negara Asia Barat bagi memperincikan rundingan damai itu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3u9au6N3B 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment