Wednesday, 13 January 2016

28 mati kebuluran di Madaya


AFP - SEJUMLAH kenderaan menunggu di pinggir bandar Madaya, Syria untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk yang kebuluran akibat peperangan.


MADAYA – Konvoi lori pertama yang membawa bantuan kemanusiaan memasuki bandar Madaya di Syria kelmarin di mana lebih 24 orang dilaporkan mati akibat kebuluran.
Bandar itu masih dikepung oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Arab Syria (SARC) berkata, dua lori yang sarat membawa makanan dan selimut memasuki Madaya lewat tengah hari, manakala tiga lori lain masuk ke bandar Fuaa dan Kafraya yang dikuasai tentera Bashar.
“Operasi bantuan sudah bermula dan dijangka berterusan selama beberapa hari. Ini merupakan perkembangan yang amat positif,” kata ketua delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) ke ­Syria, Marianne Gasser.
SARC, ICRC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Prog­ram Makanan Sedunia cuba menghantar bekalan ke Madaya selepas mendapat kebenaran rejim Bashar pada Khamis lalu.
Penghantaran itu dibuat selepas masyarakat antarabangsa bimbang dan mengecam keadaan daif di Madaya apabila kira-kira 42,000 orang tinggal dalam kepungan oleh tentera kerajaan Syria.
“Selama 25 hari, kami hanya makan sup. Saya melihat seorang belia membunuh beberapa ekor kucing dan memberitahu keluarganya bahawa dia memburu arnab.
“Sebahagian penduduk menyelongkar tong sampah, manakala sebilangan lagi memakan rumput. Kami meminta makanan daripada penentang Bashar tetapi mereka enggan memberikannya,” kata seorang remaja Madaya berumur 17 tahun, Hiba Abdel Rahman.
Sejak 1 Disember lalu, seramai 28 orang meninggal dunia akibat kebuluran di Madaya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3x5zuuuVB 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment