Friday, 29 January 2016

Kerajaan Syria tidak layan permohonan hantar bantuan kemanusiaan




AFP - KENDERAAN yang lengkap dengan senjata api milik kumpulan pejuang Jaish al-Fatah kelihatan mengawasi konvoi bantuan Bulan Sabit Merah Arab Syria yang membawa bantuan ke bandar Fuaa dan Kafraya di wilayah Idlib, Syria pada 14 Januari lalu.

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Hampir 75 peratus daripada permohonan PBB untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Syria tidak dijawab oleh kerajaan Syria, kata ketua bantuan PBB kelmarin.
Dengan rundingan damai baharu bakal bermula beberapa hari lagi, PBB sedang mendesak kerajaan Syria menghentikan serangan yang menyebabkan ramai rakyat negara itu kebuluran sejak peperangan bermula lima tahun lalu.
Ketua bantuan PBB, Stephen O’Brien memaklumkan kepada Majlis Keselamatan pertubuhan itu bahawa akses ke kawasan yang sukar dicapai gagal dilaksanakan dan kerajaan Syria masih belum memberi kelulusan kepada kebanyakan rancangan konvoi bantuan.
“Kemampuan kami untuk sampai ke lokasi yang di­serang dan sukar dicapai masih terhalang disebabkan kadar kelulusan sangat rendah untuk konvoi bantuan oleh pihak berkuasa Syria.
“Hampir 75 peratus permohonan langsung tidak dijawab kerajaan Syria. Kelemahan sebegini langsung tidak boleh diterima untuk sebuah negara anggota PBB yang menandatangani Piagam PBB,” katanya.
Daripada 113 permohonan untuk menghantar bantuan yang dibuat tahun lalu, hanya 10 peratus sampai kepada penduduk awam.
Bulan ini, PBB meminta Damsyik meluluskan konvoi bantuan ke 46 kawasan yang diserang dan sukar dicapai tetapi kesemuanya masih belum diluluskan.
Kebimbangan antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan teruk di bandar-bandar yang diserang meningkat selepas pekerja bantuan tiba di Madaya bulan ini dan melapor­kan penduduknya hanya hidup dengan sup rebusan rumput. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ya01rstv 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment