LAPAR dan semakin lemah. Itulah keadaan keluarga Abdul Rahman di Madaya iaitu salah sebuah bandar di Syria yang kini menjadi penjara terbesar.
Melalui laporan Al Jazeera, Abdul Rahman dan keluarganya sudah empat hari tidak makan malah terpaksa mengehadkan pergerakan kerana bimbang ia akan menghabiskan sisa tenaga yang ada pada tubuh mereka.
"Tiada lagi kucing atau anjing yang hidup di bandar ini. Malah daun pokok yang kami makan pun dah habis," katanya kepada Al Jazeera melalui telefon.
Abdul Rahman hanya berharap dia dan keluarganya tidak mati kelaparan.
Melalui laporan beberapa media, bandar Madaya telah dikepung tentera al-Assad dan Hezbollah sejak Julai tahun lalu dan sebarang bantuan tidak dibenarkan masuk bermula Oktober lepas.
Ini membuatkan penduduk di seluruh bandar itu menderita kekurangan nutrisi dan mendapat akses yang sangat sedikit kepada minyak serta ubat-ubatan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, sekurang-kurangnya 23 mati termasuk kanak-kanak akibat 'pemenjaraan' itu dan periuk api yang ditanam sekeliling bandar.
Aktivis tempatan menjangkakan kira-kira 40,000 penduduk di Madaya yang dikepung.
Menurut Bulan Sabit Merah, penduduk di bandar itu terpaksa membakar plastik untuk mengelakkan kesejukan.
Jurucakapnya, Pawel Krzysiek berkata, keadaan di Madaya sangat sukar.
"Rakyat kelaparan dan cuaca sangat sejuk di luar sana pada musim salji tanpa elektrik atau minyak," katanya kepada agensi berita DPA.
Pegawai perubatan profesional di Madaya berkata rakyat terpaksa makan rumput untuk kekal hidup.
"Kami tidak dapat menyediakan susu kepada bayi. Hari ini (Rabu), seorang kanak-kanak berusia 10 tahun mati akibat kekurangan nutrisi," kata Dr Khaled Mohammed, Rabu lalu
.
No comments:
Post a Comment