Seorang penduduk Madaya menyembelih seekor kucing untuk dijadikan makanan, selepas bandar itu dilanda krisis kebuluran ekoran konflik perang saudara Syria. Agensi
DAMSYIK 10 Jan. - Harga makanan melampau dan tidak masuk akal di beberapa bandar Syria yang terkepung ekoran konflik serta kesukaran mendapatkan bekalan, memaksa penduduk yang terdesak makan haiwan berkeliaran dan rumput bagi mengalas perut.
Laporan Mail Online memetik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, harga susu kini mencecah 100 pound (RM642) bagi setiap 500 mililiter di bandar Madaya yang dihuni 42,000 penduduknya yang kebuluran akibat dikepung tentera kerajaan.
Dua lagi bandar, Fuaa dan Kfarya turut menyaksikan kejadian yang sama selepas dikepung oleh kumpulan penentang kerajaan.
Sekeping gambar disiarkan Mail Online memaparkan seekor kucing terpaksa disembelih untuk dimakan, sementara satu lagi imej menyayat hati memperlihatkan dua orang budak ‘menikmati’ daun dan rumput yang direbus.
Ada juga gambar memaparkan lelaki menggeledah sampah untuk mencari apa yang boleh dimakan selain tubuh kurus kering penduduk yang sudah lama tidak menjamah makanan.
Agensi berita CNN pula melaporkan, Amnesty International mendedahkan keperitan penduduk Madaya yang terpaksa bergantung kepada air dari lopak yang dididihkan dan rumput untuk mengisi perut mereka.
Seorang penduduk Madaya yang dikenali Louay berkata, kali terakhir dia makan makanan berkhasiat adalah pada sebulan setengah lalu.
“Kini makanan utama saya hanyalah daun. Musim sejuk sudah tiba dan pokok-pokok tidak lagi mengeluarkan daun, jadi saya tidak pasti bagaimana kami hendak hidup,’’ katanya.
Menurut pasukan doktor sukarelawan, Doctors Without Borders, sekurang-kurangnya 23 orang maut akibat kebuluran di pusat sokongan perubatan di Madaya sejak 1 Disember lalu.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi PBB, Rupert Colville berkata, keadaan di sana sangat teruk, namun sukar untuk menentukan jumlah kematian dan pesakit di Madaya ekoran akses yang terhad ke bandar itu.
No comments:
Post a Comment