Saturday, 13 February 2016

Assad ikrar tawan semula wilayah Syria

SABTU, 13 FEBRUARI 2016 @ 12:12 PM



BASHAR al-Assad.

 DAMSYIK: Presiden Bashar al-Assad berikrar untuk menawan semula keseluruhan Syria dan terus "memerangi keganasan" serta merundingkan penamatan peperangan, ketika tekanan antarabangsa semakin memuncak untuk gencatan senjata.

Pendirian tegas beliau yang disuarakan dalam temubual eksklusif dengan AFP, memudarkan harapan untuk penamatan segera pertempuran dalam masa seminggu seperti didesak kuasa dunia.

 Assad berkata, matlamat utama serangan rejim yang dibantu Russia itu di Aleppo yang memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri adalah untuk menyekat laluan bekalan pemisah dari Turki.

Katanya, matlamat akhir kerajaan adalah menawan semula seluruh negara, sebahagian besarnya dikuasai pemisah atau militan IS.

"Tidak masuk akal untuk menyerahkan mana-mana wilayah," katanya dalam temubual yang diadakan di Damsyik kelmarin.

Assad berkata, tidak mustahil menamatkan masalah itu dalam masa tidak sampai setahun jika laluan bekalan untuk pembangkang dari Turki, Jordan dan Iraq diputuskan.

 Jika tidak, katanya, penyelesaian mengambil masa lama dan menyebabkan akibat yang besar.

 Di WASHINGTON, Timbalan Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Assad keliru jika menyangka perang di Syria boleh ditamatkan dengan tindakan ketenteraan, selepas hampir lima tahun konflik di negara itu mengorbankan lebih 260,000 penduduk.

 "Beliau keliru jika menyangka ada penyelesaian ketenteraan kepada konflik di Syria. "Apa yang kita perhatikan, jika rejim Syria terus berperang, yang ada cuma pertumpahan darah, kesukaran dan secara jujur, lebih menyukarkan kedudukan di kedua-dua pihak," katanya. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/124000

No comments:

Post a Comment