Saturday, 6 February 2016

Militan IS di Syria, Iraq semakin sedikit





REUTERS - ANGGOTA keselamatan Iraq berjalan berhampiran mayat seorang militan IS yang terbunuh dalam pertempuran di bandar Falluja kelmarin.


WASHINGTON – Kumpulan militan Islamic State (IS) mempunyai sehingga 25,000 pejuang di Syria dan Iraq, merosot berbanding anggaran 31,000 orang sebelum ini, menurut satu laporan risikan Amerika Syarikat (AS) yang didedahkan oleh White House kelmarin.
Pihak berkuasa AS menyebut beberapa faktor termasuk kematian di medan perang dan belot sebagai punca bilangan pejuang IS berkurangan sekitar 20 peratus. Pada masa yang sama, laporan itu menyatakan, angka terbaru itu menandakan kempen ketenteraan yang diketuai AS untuk memusnahkan IS telah mencapai kemajuan.
“Berdasarkan perangkaan risikan baharu ini, IS masih menjadi ancaman besar tetapi bilangan anggota militan itu telah berkurangan. IS berdepan angka korban yang besar.
“Pasukan keselamatan Iraq, militia kecil dan kumpulan penentang lain di Syria telah banyak menyumbang kepada perkembangan ini, begitu juga dengan kempen serangan udara diketuai AS yang sudah melancarkan lebih 10,000 serangan ke atas IS,” kata jurucakap White House, Josh Earnest.
Tambahnya, IS berdepan kesukaran menambah bilangan anggotanya berbanding dahulu susulan usaha masyarakat antarabangsa menghalang kemasukan pejuang asing ke rantau itu.
Laporan risikan itu menganggarkan IS mempunyai seramai 19,000 hingga 25,000 pejuangnya di Iraq dan Syria berbanding 20,000 hingga 31,000 orang pada 2014.
Laporan risikan itu tidak mengambil kira sekutu IS di Asia Selatan dan Afrika. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0206&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3zL1NCvCi 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment