New York: Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh rejim Bashar al-Assad ‘menghapuskan’ penentangnya di penjara dan pusat tahanan menerusi cara yang kejam, termasuk membiarkan mangsa kebulur, mendera dan membunuh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113769#sthash.Q1xC42gJ.dpuf
Tuduhan itu berdasarkan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang yang dilakukan rejim berkenaan sejak kebangkitan rakyat bermula pada Mac 2011 hingga tahun lalu.
Ia juga mendedahkan bagaimana ribuan tahanan dibunuh ketika ditahan oleh pihak bertentangan dalam konflik di negara itu.
Berdasarkan kenyataan ratusan saksi, laporan badan dunia itu mendedahkan bagaimana tahanan di pusat tahanan yang dikelolakan pihak berkuasa Syria menjadi mangsa pemerkosaan, penderaan dan pembunuhan serta pelbagai jenayah perang.
“Ada tanda-tanda menunjukkan pihak berkuasa rejim itu yang mengawal penjara dan pusat tahanan menyedari berlakunya begitu banyak kematian,” menurut laporan berkenaan.
Ia menuduh Damsyik melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan menyasarkan tahanan perang dan orang awam yang ditahan selepas menculik mereka.
Penyiasat berkata, mereka mewawancara 621 orang, termasuk lebih 200 bekas tahanan yang menyaksikan sendiri satu atau dua kematian dalam tahanan.
“Bagi tahanan yang bernasib baik kerana dibebaskan, hampir semuanya mengalami penyeksaan yang begitu sukar untuk digambarkan,” kata suruhanjaya penyiasat Paul Pinheiro.
Menurutnya, mangsa yang terselamat menceritakan bagaimana rakan tahanan mereka dipukul hingga mati ketika disoal siasat atau dibiarkan mati dalam tahanan dengan kecederaan yang mereka alami akibat didera.
Selain lelaki, sebahagian mangsa yang mati dalam tahanan itu ialah wanita dan juga kanak-kanak.
Lebih kejam lagi, ada mangsa semuda tujuh tahun juga didera hingga mati, menurut laporan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:13 AM
No comments:
Post a Comment