wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura (tengah dari kiri) mempengerusikan rundingan damai antara wakil pembangkang Syria dan wakil kerajaan Syria yang bermula di pejabat PBB di Geneva, kelmarin. AFP
GENEVA 2 Feb. – Rundingan damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan konflik di Syria, akhirnya bermula secara rasmi, semalam selepas tertangguh beberapa kali ekoran kemelut politik antara wakil kerajaan dan kumpulan pembangkang.
Wakil PBB ke Syria, Staffan de Mistura berkata, rundingan secara tidak langsung antara kumpulan pembangkang yang diwakili Jawatankuasa Tertinggi Rundingan (HNC) dan wakil kerajaan Syria telah bermula, dan beliau menjangkakan perbincangan akan memasuki fasa yang lebih sukar dan rumit.
Namun, katanya, walau apapun keadaan, rundingan itu perlu diteruskan bagi menamatkan penderitaan rakyat Syria dan yang lebih penting demi masa depan negara itu.
Mistura juga tidak pasti tempoh rundingan pusingan pertama itu mampu bertahan tetapi beliau berharap perbincangan dapat mencapai keputusan positif sebelum 11 Februari ini.
Kumpulan pembangkang yang tiba di Geneva sejak Sabtu lalu, pada awalnya enggan memberi komitmen kepada rundingan damai yang ditetapkan dalam tempoh enam bulan.
Tetapi HNC meneruskan rundingan menggunakan orang tengah untuk berbincang dengan wakil kerajaan Presiden Bashar al-Assad, selain menuntut Damsyik membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke kawasan yang terkepung dan menghentikan pengeboman di kawasan penempatan.
Susulan permintaan tersebut, kerajaan Syria bersetuju memberi laluan kepada misi bantuan ke tiga pekan yang terkepung termasuk pekan Madaya yang dilanda krisis kebuluran yang teruk.
Jurucakap NHC, Salem al-Meslet berkata, pihaknya akan berusaha menyertai rundingan tersebut bagi mencapai penyelesaian politik, sekali gus menamatkan perang saudara di Syria.
“Kami hadir di Geneva dengan harapan kawasan terkepung diselamatkan dan pengeboman oleh Rusia dihentikan, dan saya dapat melihat mesej positif,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment