Oncupinar (Turki): Turki bersedia ‘jika perlu’ untuk membenarkan puluhan ribu pelarian Syria yang terperangkap di sempadannya memasuki negara itu, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113354#sthash.Vke6icTl.dpuf
Puluhan ribu rakyat Syria, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak melarikan diri ke sempadan Turki sejak Jumaat lalu dari bandar Aleppo di utara Syria, berikutan serangan besar-besaran tentera rejim Bashar al-Assad yang disokong Russia.
“Rejim Bashar sudah mengepung sebahagian Aleppo. Turki turut terancam. Jika mereka sampai ke sempadan negara kami, kami tiada pilihan lain. Kami akan membuka pintu untuk saudara kami,” kata Recep sebaik tiba dari Senegal, semalam.
Suleyman Tapsiz, gabenor Kilis, wilayah Turki di sempadan dengan Syria, berkata, Turki yang sudah menempatkan antara dua hingga 2.5 juta pelarian Syria, kini memberi bantuan kepada 30,000 hingga 35,000 pelarian yang berhimpun di Azaz, bandar sempadan sebelah Syria. Mereka tiba di bandar itu dalam tempoh 48 jam.
Seramai 70,000 lagi mungkin menuju ke sempadan negara itu jika serangan udara tentera Russia dan kemaraan askar rejim berterusan di Aleppo, katanya.
Pintu sempadan Oncupinar di Turki, yang berdepan dengan Bab al-Salama di Syria, masih ditutup kepada ribuan pelarian yang berhimpun di situ, untuk hari ketiga semalam, kata wartawan AFP.
“Bagaimanapun, sempadan itu masih dibuka untuk kes kecemasan. Tujuh orang yang cedera dibenarkan memasuki pintu sempadan pada Jumaat dan seorang lagi kelmarin untuk di rawat di hospital negara ini.”
Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata, negaranya akan membiarkan ‘dasar sempadan terbuka’ untuk pelarian Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 5:55 AM
No comments:
Post a Comment