Tuesday, 12 April 2016

Imigran disekat masuk ke Macedonia merusuh






SEORANG lelaki membawa bayi yang cedera untuk dirawat selepas polis Macedonia menyembur gas pemedih mata ke arah imigran di perkampungan Idomeni, sempadan Greece kelmarin. - AFP

IDOMENI, Greece – Berpuluh-puluh imigran dan pelarian cedera kelmarin apabila polis Macedonia me­nembak gas pemedih mata dan peluru getah terhadap kumpulan pelarian di sempadan negara itu yang merusuh, kata pekerja perubatan berhubung kekerasan itu yang dikecam oleh Greece sebagai ‘berbahaya dan keji’.

Lebih 10,000 imigran dan pelarian terkandas di pos sempadan Greece, Idomeni sejak Februari lalu susulan penutupan sempadan di negara rantau Balkan yang menyekat laluan mereka untuk menuju ke tengah dan barat Eropah.

Satu percubaan oleh sekumpulan besar imigran menyeberangi pagar sempadan telah mencetuskan rusuhan dan ketegangan, kata seorang pegawai Macedonia.

Greece berkata, polis di Macedonia telah menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom asap untuk menyuraikan imigran.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Macedonia hanya mengesahkan tentang penggunaan gas pemedih mata.

Seorang timbalan penyelaras pertubuhan perubatan Perancis, Medicins Sans Frontieres memberitahu bahawa sekitar 300 orang telah dirawat dengan lebih 30 orang cedera akibat terkena peluru getah.

Katanya, ramai wanita dan kanak-kanak menghadapi masalah pernafasan disebabkan terdedah kepada gas pemedih mata.

Polis Macedonia di Skopje berkata, tiga anggotanya turut cedera.

“Mereka (penunjuk pera–saan) membaling batu ke arah polis Macedonia. Kami terpaksa menyembur gas pemedih mata sebagai tindak balas,” kata seorang pegawai polis.

Sementara itu, jurucakap penyelaras migrasi kerajaan Greece, George Kyritsis berkata, penggunaan kekerasan sedemikian tidak boleh diterima.

“Penggunaan bahan kimia secara sembarangan, peluru getah dan bom asap terhadap imigran terutamanya tanpa sebab yang kukuh adalah satu tindakan yang berbahaya dan amat dikesali,” kata Kyritsis.

Lebih sejuta orang yang melarikan diri dari kawasan konflik telah membanjiri Eropah terutama melalui Greece sepanjang tahun lalu.

Kesatuan Eropah sedang melaksanakan satu perjanjian yang mana semua pendatang asing ke Greece akan dihantar semula ke Turki jika mereka tidak memenuhi kriteria suaka. – Reuters



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz45bICo4oi
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment