|
GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi jaminan akan menyiasat dakwaan bahawa lebih 100,000 tahanan kerajaan Syria diseksa, dibiarkan kebuluran dan dibunuh.
PBB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mencalonkan seorang penyelaras bagi melakukan siasatan berikutan dakwaan pembangkang terhadap kerajaan pimpinan Presiden Syria, Bashar al-Assad itu.
Duta Khas PBB di Syria, Staffan de Mistura berkata, beliau akan melantik seorang pakar teknikal kanan dalam masa beberapa hari lagi bagi menyiasat keadaan lebih 100,000 tahanan semasa lima tahun perang saudara itu berlaku.
“Isu ini sangat sensitif. Terdapat beberapa khabar angin bahawa jika kamu mendedahkan nama seorang tahanan, dia akan hilang selepas itu” kata de Mistura kepada pemberita.
Dua orang diplomat memberitahu Reuters, seorang bekas pakar Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) akan dicalonkan. Salah seorang daripada mereka berkata, penyelaras wanita itu akan mula bertugas pada Isnin ini.
Syria membuka penjara-penjaranya kepada ICRC buat kali pertama pada September 2011 bagi membolehkan pekerja bantuan kemanusiaan mengunjungi penjara utama Damsyik. Bagaimanapun, ICRC enggan memberikan maklumat akses semasanya.
Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) pembangkang pula telah menjadikan pembebasan tahanan wanita dan kanak-kanak sebagai keutamaan.
“Kami tahu mengapa isu ini sangat sukar kerana akan mendedahkan tahap kekejaman yang dilakukan rejim Bashar,” kata perunding HNC, Basma Kodmani.
Seorang peguam dan aktivis, Mazen Darwish yang dibebaskan akhir Ogos tahun lalu selepas ditahan selama tiga tahun setengah berkata, dia berharap penyelaras baharu itu akan memandang serius isu itu dengan mengadakan rundingan di Syria antara pihak kerajaan dan pembangkang. – Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz46emDWTex
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment