Beratus-ratus pendatang dan sekumpulan penduduk anti jenayah bergaduh menggunakan batang besi dan kayu di stesen kereta api Stanlingrad, Paris, kelmarin. Agensi
PARIS 17 April – Polis antirusuhan terpaksa menyuraikan pergaduhan antara beratus-ratus pendatang dengan sekumpulan penduduk yang mendakwa sebagai kumpulan antijenayah, masing-masing bersenjatakan batang besi dan kayu berhampiran stesen kereta api Stalingrad, Paris semalam.
Menurut laporan Mailonline, keganasan itu berlaku apabila sekumpulan lelaki membaling objek ke arah pendatang asing.
Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan terlibat dan menahan seorang lelaki mabuk dipercayai individu yang mula membaling objek sehingga mencetuskan pergaduhan itu.
Sekurang-kurangnya empat orang pendatang cedera dalam salah satu daripada dua pergaduhan yang berlaku malam semalam dan telah dikejarkan ke Hospital Lariboisiere untuk rawatan.
Kawasan kem tersebut menempatkan beratus-ratus pendatang dari Eritrea, Sudan dan Afghanistan namun punca pergaduhan masih belum diketahui.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve dalam pengumuman bersama Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo memberitahu, kawasan kem itu akan dipindahkan tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment