Pemandangan udara memaparkan kemusnahan di daerah Saif al-Dawla di Aleppo yang menjadi medan pertempuran baharu perang saudara di Syria. REUTERS
DAMSYIK 7 Mei – Gencatan senjata sementara di kawasan bergolak, Aleppo dilanjutkan bagi tempoh 72 jam lagi bermula hari ini walaupun keganasan semakin meningkat di selatan bandar kedua terbesar Syria itu.
Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan, lanjutan tempoh tersebut dibuat hanya beberapa minit sebelum gencatan senjata selama 48 jam sebelum ini tamat, bagi mengelakkan situasi di Aleppo semakin buruk ekoran pertempuran antara tentera kerajaan Syria dan kumpulan penentang.
“Tentera Syria akan mematuhi gencatan sementara di wilayah Latakia dan bandar Aleppo bermula pukul 12.01 minit tengah malam waktu tempatan bagi tempoh 72 jam berikutnya,” jelas kementerian tersebut.
Gencatan sementara yang turut disokong oleh Amerika Syarikat itu, membuatkan penduduk Aleppo berasa lega selepas hampir dua minggu terhimpit dalam pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan penentang yang mengorbankan lebih 280 nyawa orang awam.
Namun di selatan bandar tersebut, pertempuran antara tentera Syria dan kumpulan militan yang bersekutu dengan pengganas al-Qaeda semakin meningkat selepas lebih 70 orang dilaporkan terbunuh semalam.
Sementara itu di tengah Syria, tentera negara ini melancarkan serangan di sebuah penjara di bandar Hama bagi menamatkan rusuhan yang dicetuskan lebih 800 banduan sejak Isnin lalu selepas mereka enggan dipindahkan ke penjara Saydnaya di sini Damsyik yang dikendalikan oleh tentera.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia melaporkan, berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan keselamatan Syria melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah untuk memasuki kompleks penjara tersebut.
Menurut pertubuhan itu, situasi di Hama mencetuskan kebimbangan berkaitan hak asasi manusia disebabkan kemungkinan pasukan keselamatan Syria menggunakan kekerasan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun perkembangan selanjutnya berhubung kejadian di Hama masih belum diketahui. – AFP
No comments:
Post a Comment