Saturday, 14 May 2016

Komander Hizbullah terbunuh di Syria

Beirut: Pergerakan Hizbullah di Lubnan berkabung semalam atas kematian seorang komander tentera kanannya, Mustafa Badreddine dalam satu letupan di Damsyik, Syria.
Kematian Mustafa, 55, dianggap satu tamparan hebat terhadap pergerakan Syiah berkenaan yang memainkan peranan penting dalam konflik di negara jiran itu.
Mustafa adalah perancang utama pembabitan Hizbullah dalam perang saudara di Syria sejak pejuangnya menyertai tentera negara itu bagi menentang kumpulan yang mahu menumbangkan Presiden Bashar Assad.
Hizbullah dan Iran adalah antara penyokong kuat Bashar.
Bagaimanapun, maklumat mengenai letupan yang membunuh Mustafa itu masih tidak jelas.
Hizbullah memberitahu, serangan itu berlaku berhampiran lapangan terbang Damsyik tetapi tidak memberi maklumat lanjut.
Lapangan terbang itu terletak berhampiran makam Sayida Zeinab yang dianggap suci oleh pengikut Syiah dan lokasi markas pejuang Hizbullah dan beberapa kedudukan tentera.
Menurut Hizbullah, beberapa lagi cedera dalam serangan itu dan ia menyiasat letupan itu sama ada ia berpunca daripada serangan udara, peluru berpandu atau meriam.
Bila letupan berlaku juga tidak dinyatakan dan pejabat media Hizbullah memberitahu, mereka juga tiada maklumat mengenai masa kejadian itu.
Pada malam Selasa lalu, Hizbullah menafikan laporan bahawa tentera udara Israel menyerang konvoi nya di sempadan Lubnan-Syria. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:03 AM

No comments:

Post a Comment