Abdel Halif al-Jasim menunjukkan ke arah gaung yang dijadikan kubur besar oleh militan IS di bandar Suluk dekat sempadan Turki. AGENSI
DAMSYIK 17 Mei – Sebuah kubur besar mengandungi lebih seribu mayat penduduk Syria, termasuk wanita dan kanak-kanak ditemukan di sebuah gaung di daerah utara negara ini dekat sempadan Turki.
Kubur besar itu ditemukan Unit Perlindungan Penduduk Kurdis (YPG) di bandar Suluk, kira-kira 20 kilometer dari daerah Tal Abyad, yang ditawan kumpulan militan Negara Islam (IS) selama sebulan pada Februari lalu.
Militia YPG berjaya mengusir anggota militan IS itu dari Suluk pada Mac lalu selepas mereka menawan daerah Tal Abyad yang terletak berhampiran dengan pusat pentadbiran militan IS di Raqqa.
“Kami menemukan ribuan mayat penduduk di sebuah gaung,” kata Komander YPG, Mohamed Jirkis yang dipetik akhbar Daily Express, semalam.
Jirkis berkata, kebanyakan mangsa adalah lelaki, dengan mangsa terlebih dahulu diseksa sebelum dibunuh.
Seorang penduduk, Abdel Halif al-Jasim ketika diminta mengulas insiden berkenaan berkata, anggota militan IS akan membawa mangsa ke gaung berkenaan dengan mata mereka ditutup.
Katanya, anggota militan itu kemudian melepaskan tembakan di kepala mangsa bagi menakutkan mereka.
“Mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri dan mereka kemudian jatuh ke dalam gaung berkenaan, manakala penduduk yang mati ditembak akan dibungkus dengan selimut sebelum dihumban ke dalam cenuram berkenaan,” kata Abdel Halif.
Penemuan kubur besar itu dipercayai yang kedua pada tahun ini, selepas tentera kerajaan menemukan sebuah kubur besar mengandungi 25 mayat di bandar purba Palmyra di wilayah Homs yang berjaya ditawan semula daripada militan IS awal April lalu.
No comments:
Post a Comment