Seorang kakitangan sukarela mengangkat seorang kanak-kanak perempuan yang diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan akibat serangan pesawat tentera Syria ke atas bandar Aleppo pada 28 April lalu. REUTERS
DOHA 1 Mei – Qatar meminta Liga Arab mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan krisis yang semakin meruncing di Syria, ketika lapan lagi kematian dicatatkan, selepas tentera Presiden Bashar al-Assad membedil bandar Aleppo, masuk hari kesembilan berturut-turut, hari ini.
Menurut laporan portal Al Jazeera, permintaan Qatar itu merujuk keganasan yang semakin meningkat dan tidak terkawal di Aleppo yang menyaksikan orang awam menjadi mangsa serangan tentera Syria, sehingga menyebabkan banyak kematian dan kecederaan.
Jelas laporan itu, Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Jassim Al Thani turut menghubungi rakan sejawatnya dari Turki, Perancis dan Britain untuk membincangkan situasi kemanusiaan di Aleppo yang dibedil teruk oleh tentera Syria.
Sambil menyifatkan serangan itu mengabaikan prinsip dan undang-undang antarabangsa, beliau meminta masyarakat dunia berbuat sesuatu bagi menghentikan pembunuhan di Aleppo dan melindungi penduduk Syria.
Mesej yang sama turut disuarakan timbalan beliau, Sultan bin Saad al-Meraikhi yang menghubungi Timbalan Menteri Luar Rusia, Mikhail Bogdanov bagi menggesa Moscow sebagai sekutu rapat Syria, menamatkan serangan di Aleppo.
Berdasarkan laporan Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, sekurang-kurangnya 246 orang awam disahkan terbunuh dalam serangan meriam, roket dan udara sejak tentera kerajaan menggempur bandar itu pada 22 April lalu.
Semalam sahaja, tentera Syria melancarkan 28 serangan udara menggunakan pesawat tempur dan helikopter penyerang menyebabkan lapan orang terbunuh.
Sementara itu, berpuluh-puluh penduduk di daerah Bustan al-Qasr meninggalkan kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di bandar tersebut susulan serangan berterusan tentera kerajaan.
No comments:
Post a Comment