PERANG saudara selama lima tahun di Syria turut mengakibatkan kemusnahan besar di bandar Deir Ezzor. AGENSI
BEIRUT 15 Mei - Tentera Syria berjaya mematahkan cubaan kumpulan militan IS) untuk menawan sebuah hospital di bandar Deir Ezzor.
Agensi berita Amaq melaporkan, anggota militan IS melancarkan serangan besar-besaran di barat daya Deir Ezzor, pagi semalam dan menggempur Hospital Assad.
Badan Pemantau Hak Asasi Syria memaklumkan, sekurang-kurangnya 35 tentera Syria terkorban dan beberapa kakitangan hospital berkenaan ditawan militan IS.
Pertempuran sengit di sekitar hospital itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 24 anggota militan IS terbunuh.
Kumpulan militan terbabit juga bertindak memusnahkan laluan yang menghubungkan pangkalan udara tentera Syria dan lapangan terbang di wilayah tersebut.
Militan IS menguasai sebahagian besar Deir Ezzor dan mengepung kawasan itu sejak Mac tahun lalu sehingga ke kawasan yang dikuasai tentera kerajaan di bandar berhampiran di sempadan timur Syria dengan Iraq.
Bandar Deir Ezzor menghubungkan bandar Raqqa yang dikuasai militan IS dengan kawasan lain yang dikuasai kumpulan itu di Iraq.
Militan IS mendakwa pihaknya berjaya menawan sebuah pusat pemeriksaan, balai bomba, pusat penginapan universiti, selain beberapa kawasan berhampiran lapangan minyak al-Tayyam.
Agensi berita Rusia, RIA yang memetik sumber melaporkan, tentera Syria berjaya mematahkan serangan militan IS di kawasan pangkalan udara di bandar itu.
Namun, badan pemantau hak asasi manusia bagi Syria dan Amaq melaporkan, berlaku pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan anggota militan IS di kawasan berkenaan.
Militan IS mendakwa sekurang-kurangnya 80 orang askar kerajaan terkorban selain beberapa kereta perisai tentera dimusnahkan dalam serangan itu. – REUTERS
No comments:
Post a Comment