Ankara: Turki semalam mengecam serangan udara Russia yang menyasarkan masjid, hospital, sekolah dan bangunan awam lain.
Dalam satu kenyataannya, Kementerian Luar Turki berkata, serangan udara Russia sejak beberapa lalu menyasarkan hospital di Aleppo dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperi kemanusiaan.
Sementara itu, di Aleppo, seorang pakar perubatan kanak-kanak berkata, jururawat di sebuah hospital di bandar berkenaan bergegas menyelamatkan sembilan bayi baru lahir selepas hospital itu menjadi sasaran pengeboman besar-besaran Russia, kelmarin.
Ketua Hospital Kanak-Kanak Al-Hakim, Dr Hatem berkata: “Ia saat paling teruk. Jururawat kami bertungkus lumus membawa bayi itu ke besmen.”
Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh apabila pesawat Russia dan kerajaan Syria mengebom kawasan yang menempatkan tiga hospital di bahagian Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang.
Hatem yang enggan mendedahkan nama penuhnya berkata, pihaknya bimbang bayi itu mati akibat tersedut habuk.
“Kami memang menjangka hospital ini akan menjadi sasaran pengeboman. Dan ia berlaku hari ini (kelmarin).
“Kini hanya tinggal 18 inkubator di timur Aleppo,” katanya.
Pemilik hospital, Persatuan Doktor Bebas berkata, semua bayi di hospital itu selamat tetapi hospital itu tidak boleh digunakan lagi.
“Saya mahu setiap pemimpin bayangkan kanak-kanak di hospital ini anak mereka. Apa sahaja yang akan mereka lakukan untuk menyelamat anak mereka daripada dibom, mereka perlu lakukan untuk kanak-kanak ini,” kata Hatem.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 7:23 AM
No comments:
Post a Comment