SEORANG anggota pertahanan awam berlari ke arah sebuah ambulans berdekatan sebuah hospital di bandar Milis yang menjadi sasaran serangan udara hingga menyebabkan 10 orang awam terbunuh kelmarin. REUTERS
BEIRUT 7 Ogos - Beberapa serangan udara berhampiran sebuah hospital di barat laut Syria, semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang awam terbunuh, lapor Badan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria.
Badan pemantau tersebut berkata, serangan tersebut mensasarkan bandar Milis di wilayah Idlib yang bersempadan dengan Turki dan dikuasai anggota kumpulan militan bekas sekutu rangkaian militan al-Qaeda di Syria.
Menurut badan itu yang berpangkalan di Britain, tiga kanak-kanak dan dua wanita antara mereka yang terbunuh, namun tidak dapat dipastikan sama ada serangan tersebut dilakukan oleh pesawat pejuang Rusia atau tentera Syria.
Pusat Media Idlib yang menerbitkan berita mengenai perkembangan di wilayah itu berkata, hospital terkena bedilan sebuah pesawat yang tidak dikenali, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terbunuh.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, Syria adalah tempat paling berbahaya bagi pekerja kesihatan dengan 135 serangan ke atas kemudahan kesihatan dan pekerjanya dilaporkan berlaku pada tahun lalu.
Pada akhir bulan lalu, empat hospital sementara dan bank darah tempatan di bandar Aleppo menjadi sasaran serangan udara dalam hari yang sama.
Lebih 280,000 orang terbunuh sejak konflik Syria tercetus pada 2011 yang memaksa berjuta-juta rakyatnya melarikan diri, termasuk lebih lima juta yang mencari perlindungan di negara jiran. – AFP
No comments:
Post a Comment