Friday, 23 September 2016

Aleppo diserang habis-habisan




PASUKAN penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa serangan udara di kawasan kejiranan al-Sakhour, timur Aleppo, semalam. - AP



Reuters
Beirut: Pesawat pejuang melancarkan serangan udara paling sengit sejak beberapa bulan ini di kawasan dikuasai kumpulan penentang di Aleppo sepanjang malam kelmarin.

Sementara itu, Russia dan kerajaan Syria menolak desakan Amerika Syarikat (AS) untuk berhenti menyerang.

Ia sekali gus menguburkan semua harapan untuk menyambung semula gencatan senjata.

Dalam serangan terbaru sepanjang malam kelmarin, kumpulan penentang dan pekerja penyelamat berkata, bom pembakar antara yang digugurkan di Aleppo.

Pengarah hospital di timur bandar itu, Hamza al-Khatib berkata, jumlah kematian dianggarkan 45 orang.

Ketua perkhidmatan penyelamat awam Aleppo, Ammar al-Selmo berkata: “Serangan yang mereka lakukan seolah-olah untuk melepaskan geram bagi hari-hari yang mereka tidak serang.

“Seolah-olah ada penyelarasan antara tembakan meriam di darat dan serangan udara kerana semuanya disasarkan pada tempat sama.”

Serangan menggunakan pesawat kerajaan Syria atau Russia atau kedua-duanya sekalu jelas menunjukkan Moscow serta Damsyik tidak mengendahkan gesaan Setiausaha Negara AS John Kerry untuk menghentikan serangan supaya bantuan dapat dihantar kepada penduduk selain memberi harapan menyambung semula gencatan senjata.

Tentera Syria dan media kerajaan tidak mengulas serangan itu.

Sementara itu, Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdulrahman menyifatkan serangan kelmarin sebagai paling hebat berbanding serangan sebelum ini.

Seorang pegawai pejuang di Aleppo berkata: “Russia cuba memaksa kami menyerah diri dengan melancarkan serangan besar-besaran seumpama itu.”
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 7:14 AM

No comments:

Post a Comment