SEKUMPULAN wanita Syria berjalan melintasi bangunan yang musnah di kawasan yang dikuasai kerajaan di kejiranan Jouret al-Shiah di bandar Homs, tengah Russia, semalam. - AFP
Agensi
Beirut: Gencatan senjata Syria yang diusahakan Amerika Syarikat dan Russia berdepan masalah besar semalam dengan seorang pegawai kumpulan penentang berkata, ia secara praktikalnya gagal dan memberi isyarat kumpulan itu bersiap sedia untuk bertempur semula.
Walaupun sudah dicabuli pada hari pertama ia berkuat kuasa seminggu lalu, gencatan senjata berkenaan semakin nyata menuju kegagalan sepenuhnya apabila Russia berkata, jet pakatan yang diketuai Amerika Syarikat untuk memerangi Daish membunuh lebih 60 askar kerajaan Presiden Bashar al-Assad di timur Syria.
Persetujuan Amerika Syarikat-Russia itu adalah gencatan senjata kedua yang diusahakan Washington dan Moscow tahun ini dengan harapan untuk menamatkan peperangan yang memasuki tahun keenam di negara itu dan menyebabkan ratusan ribu orang terbunuh.
Persetujuan itu membawa kepada pengurangan dalam pertempuran sepanjang minggu lalu tetapi keganasan meningkat semula sejak beberapa hari lepas sementara rancangan menghantar bantuan kemanusiaan ke daerah yang dikuasai penentang di timur Aleppo, antara langkah pertama dalam persetujuan berkenaan, ditunda berulang kali.
Ketua Fastaqim, kumpulan penentang terkenal berkata, gencatan senjata itu secara praktikalnya gagal dan sudah berakhir.
Bercakap kepada wartawan di bandar Gaziantep, Turki, Zakaria Malahifji membayangkan, kumpulan penentang bersiap sedia untuk bertempur semula.
Pada masa sama, tentera Syria juga tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk melanjutkan gencatan senjata tujuh hari yang dikuatkuasakan sejak 12 September lalu dan berakhir tengah malam kelmarin.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 8:06 AM
No comments:
Post a Comment