SEORANG lelaki Syria membawa basikal melintas di depan bangunan yang musnah di Aleppo. - AFP
Aleppo: Gencatan senjata di Syria yang dianggap ‘peluang terakhir’ untuk mencapai kedamaian di negara dilanda perang itu masih bertahan setakat semalam dengan penduduk di seluruh negara melaporkan keadaan terkawal.
Gencatan senjata diusahakan Russia dan Amerika Syarikat (AS) itu melihat pertempuran dihentikan pada waktu senja, kelmarin, seterusnya membolehkan bantuan dihantar kepada orang awam yang terdesak memerlukannya.
Aleppo - bandar kedua terbesar Syria yang melihat pertempuran sengit sejak beberapa minggu lalu - kekal damai malah penduduknya keluar sehingga waktu tengah malam untuk menyambut Aidiladha.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan, lokasi pertempuran utama tenang.
Setiausaha Negara AS, John Kerry yang ditemui di Washington berkata: “Buat masa ini masih terlalu awal untuk mengatakan gencatan berjaya dilaksanakan, tetapi saya berharap semua pihak terus mengambil peluang ini sebaiknya.
“Saya berharap semua pihak menghormati proses damai kerana ia mungkin peluang terakhir untuk menyelamatkan Syria.”
Sementara itu, aktivis Hassan Abu Nuh di Talbisseh berkata, bandar itu juga tidak lagi dibedil serangan udara tentera kerajaan.
“Buat kali pertama malam tadi kami mampu tidur nyenyak sepanjang malam,” katanya.
Perkara sama turut dilaporkan di Idlib yang melihat 13 kematian Isnin lalu dalam satu serangan udara.
Bagaimanapun, penduduk, Nayef Mustafa menyuarakan kebimbangan keadaan cuma damai seketika sempena Aidiladha.
Gencatan senjata itu diadakan bagi membolehkan perbincangan damai diteruskan antara kerajaan dan penentangnya, namun tidak disertai Daish atau bekas sekutu al-Qaeda, Barisan Fateh al-Sham.
Pelbagai usaha sebelum ini untuk menamatkan konflik sejak 2011 itu menemui kegagalan. Gencatan diperbaharui setiap 48 jam, dan sekiranya mampu bertahan seminggu, Moscow serta Washington akan memulakan kempen bersama untuk menyasarkan kumpulan militan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:50 AM
No comments:
Post a Comment