ASKAR dan orang ramai meneliti lokasi serangan di Jambatan Arazona. - EPA
AFP
Damsyik: Enam serangan bom dilancarkan Daish di kawasan dikawal tentera kerajaan Syria dan wilayah Kurdis, semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 48 terbunuh termasuk 35 di Tartus, kubu kuat Presiden Bashar al-Assad.
Media kebangsaan melaporkan puluhan lain cedera dalam serangan bom berkembar di Tartus yang juga menempatkan pangkalan tentera laut Russia.
Serangan lain berlaku di Homs, pos kawalan tentera di jalan raya di pinggir Damsyik dan pos kawalan pasukan keselamatan Kurdis di Hasakeh serta Qamishli.
“Di Tartus, dua serangan menyasarkan jambatan Arzuna. Serangan pertama bom kereta dan yang kedua penyerang berani mati yang meletupkan tali pinggang dipakainya apabila orang ramai datang membantu mangsa cedera,” lapor media tempatan.
Memetik ketua hospital di Tartus, laporan itu berkata, 35 orang terbunuh dan 43 cedera dalam serangan berkenaan.
Tartus setakat ini tidak pernah menjadi sasaran serangan sejak konflik bermula di Syria pada Mac 2011. Malah, ia menjadi tempat perlindungan untuk kebanyakan penduduk yang melarikan diri dari pertempuran.
Sementara itu, di timur laut Syria, sekurang-kurangnya lapan terbunuh dalam serangan pengebom menaiki motosikal di Hasakeh - bandar yang umumnya dikuasai pejuang Kurdis.
Media melaporkan mereka yang maut terdiri daripada enam anggota pasukan keselamatan Asayesh serta dua orang awam.
Sementara itu, Hasakeh kerap disasarkan Daish, termasuk pada Julai lalu apabila seorang pengebom bermotosikal membunuh sekurang-kurangnya 16 orang di luar kedai roti.
Agensi berita Daish, Amaq melaporkan kejadian di Hasakeh, tetapi tiada pengakuan kumpulan itu bertanggungjawab.
Kejadian semalam susulan kejayaan serangan oleh tentera Turki dan penentang kerajaan Syria yang bersekutu dengannya mengusir Daish dari sempadan dua negara berkenaan.
Selain itu, di Homs, media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya empat terbunuh akibat bom kereta di laluan masuk ke kejiranan Al-Zahraa, yang penduduknya dari etnik Alawite sama seperti Bashar.
Satu lagi bom diletupkan di jalan Al-Sabura di barat Damsyik yang melihat seorang maut dan tiga cedera.
Sementara itu, Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) Rami Abdel Rahman berkata, serangan di Homs dan Al-Sabura nampak diselaraskan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 10:18 AM
No comments:
Post a Comment