GAMBAR yang dirakam menggunakan dron menunjukkan tanah perkuburan di kelilingi bangunan yang rosak di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang Presiden Bashar al-Assad di Aleppo. - Reuters
Beirut: Tentera Syria menawan pusat kawasan kejiranan yang dikuasai kumpulan penentang di Aleppo semalam selepas seminggu melakukan serangan udara.
Seorang pegawai tentera Syria berikrar, serangan itu akan diteruskan hingga semua penentang dihapuskan dari bandar itu.
Stesen televisyen Syria melaporkan, tentera menawan Farafra dan pertempuran tercetus berhampiran kawasan bersejarah di utara Aleppo.
Bandar terbesar dan bekas pusat komersial di Syria itu menjadi lokasi pertempuran sengit sejak kumpulan penentang menawan beberapa kawasan kejiranan di timur bandar itu pada 2012.
Kawasan kejiranan itu kini dikepung dan beberapa minggu lalu serangan udara yang dianggap terburuk sejak peperangan meletus menyebabkan lebih 200 penduduk maut dan beberapa bangunan runtuh.
Pertempuran bagi menguasai bandar itu dilihat masih belum dimenangi oleh mana-mana pihak.
Tentera kerajaan berusaha menawan bandar purba Aleppo yang menempatkan Masjid Umayyad yang juga tapak warisan dunia UNESCO.
Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia mengesahkan tentera kerajaan mara ke kota purba berkenaan.
“Terdahulu kawasan ini dihujani dengan serangan meriam. Kelihatan tentera kerajaan bersedia untuk melancarkan serangan darat,” kata anggota Pertahanan Awam Syria, Ibrahim Alhaj.
Menurutnya, maklumat dari medan tempur menunjukkan pergerakan besar pejuang prokerajaan di dalam bandar itu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 10:44 AM
No comments:
Post a Comment