Friday 14 October 2016

20 maut dalam serangan bom di sempadan Syria-Turki


JUMAAT, 14 OKTOBER 2016 @ 8:45 AMAMMAN: Sekurang-kurangnya 20 orang, kebanyakannya pejuang pembebasan Syria, terkorban selepas bom kereta meletup berhampiran pusat pemeriksaan berdekatan lintasan Bab al Salama di sempadan Turki-Syria di utara negara itu. Saksi berkata, letupan berlaku berhampiran pusat pemeriksaan dikawal sekumpulan Tentera Pembebasan Syria (FSA), Jabhat al Shamiya, berdekatan depoh kereta kira-kira dua kilometer dari sempadan, laluan utama antara utara Syria yang dikuasai pembangkang ke Turki. Pekerja penyelamat mengejarkan puluhan mangsa yang cedera ke Hospital Azaz manakala pengurusan masjid merayu orang ramai menderma darah. Lapan daripada yang cedera dalam keadaan kritikal dan dibawa ke hospital di Turki di seberang sempadan. "Banyak mayat berkecai dan bercampur dengan bahagian logam kereta yang berkecai dan rentung," kata seorang mekanik, Abdullah al-Sheikh. Lintasan Bab al Salama berhampiran bandar raya Azaz, kubu kuat FSA yang terbabit dalam operasi besar-besaran sepanjang sempadan ke timur laut menentang militan Daesh. Beberapa unit FSA juga mengepung kawasan berkenaan selepas tersebar berita satu lagi letupan akan berlaku. Serangan dilancarkan seminggu selepas militan Daesh meletupkan bom dibawanya di lintasan sempadan Atmeh antara kawasan pembangkang Syria di Idlib di barat laut Syria dan Turki. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/202021

No comments:

Post a Comment