Monday, 17 October 2016

Rundingan damai Syria terus buntu


17 Oktober 2016 12:36 AM
Menteri-menteri luar termasuk John Kerry dan Sergei Lavrov berbincang

Menteri-menteri luar termasuk John Kerry dan Sergei Lavrov berbincang tentang masa depan Syria di Lausanne, Switzerland, kelmarin. REUTERS
LAUSANNE, Switzerland 16 Okt. – 
Rundingan damai Syria yang dipengerusikan oleh Amerika Syarikat (AS) semalam menemui jalan buntu apabila gagal mencapai strategi berkesan bersama Rusia bagi menamatkan konflik di negara bergolak itu.

AS yang diwakili oleh Setia­usaha Negara, John Kerry mencari haluan baharu perdamaian selepas gagal untuk melaksanakan gencatan senjata dengan Moscow yang menyokong Syria ekoran tercetusnya kemarahan penduduk dunia berkaitan insiden pengeboman tidak terkawal di Aleppo.

Kerry mengadakan rundingan tersebut bersama Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dan tujuh menteri luar lain dari Iran, Iraq, Arab Saudi, Turki, Qatar, Jordan dan Mesir setelah beberapa ming­gu kegagalan pelan gencatan senjata dirancang oleh AS.

“Saya menyifatkan pertemuan ini sebagai cara untuk mencari penyelesaian dalam suasana perbincangan yang santai. Pendapat daripada menteri yang berbeza mungkin dapat membentuk pelbagai pendekatan,” katanya.

Mesyuarat itu merupakan pertemuan kedua antara Kerry dan Lavrov sejak kegagalan gencatan senjata bulan lalu.

Sementara itu Lavrov berkata, beliau tidak mempunyai sebarang harapan pada mesyuarat tersebut selain menambah semua menteri telah memberi beberapa pandangan menarik, namun enggan mengulas lanjut.

Tambah Lavrov, semua menteri luar juga bersetuju Syria perlu mencari jalan penyelesaian sendiri secara menyeluruh dan negara itu perlu bersatu. – REUTERS

No comments:

Post a Comment