TENTERA yang setia kepada rejim Bashar meronda kawasan Awijah ketika mereka mara di daerah yang sebelum ini dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo.
AFP
Beirut: Tentera Syria semalam meneruskan serangan untuk menawan timur Aleppo yang dikuasai kumpulan penentang selepas Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal meluluskan gencatan senjata untuk menyelamatkan bandar berkenaan.
Askar rejim Presiden Bashar al-Assad dan sekutunya mara serta menguasai dari satu jalan ke satu jalan di sektor timur yang dikuasai kumpulan penentang sejak 2012.
“Pertempuran di darat dan juga serangan udara ganas berlarutan sepanjang malam dan berterusan hingga ke hari ini (semalam) terutama di daerah Sheikh Said di timur Aleppo,” kata ketua Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
Ujarnya, tentera rejim kini mengambil alih kawalan di persimpangan Jandul di timur laut bandar itu.
Akhbar Al-Watan yang rapat dengan rejim Bashar melaporkan, kemaraan terbaru itu bertujuan membuka jalan untuk satu serangan darat yang penting dan yang akan menjadi penentuan.
Tentera Syria melancarkan serangan terhadap bahagian timur Aleppo yang dikepung itu sejak lebih dua minggu lalu dengan sokongan serangan udara Russia.
Menurut badan pemantau, sejak operasi bermula pada 23 September lalu, serangan udara oleh tentera Syria dan Russia sudah meragut 273 nyawa kebanyakannya orang awam, termasuk 53 kanak-kanak.
Seramai 17 orang awam pula terbunuh dalam serangan artileri di daerah timur bandar itu kelmarin.
Pada Sabtu lalu di PBB, Russia menggunakan veto untuk menolak resolusi oleh Perancis yang mendesak serangan udara di Aleppo di tamatkan manakala satu gencatan senjata yang dikemukakan Moscow pula ditolak Majlis Keselamatan.
Kegagalan dua resolusi itu memburukkan lagi perpecahan di Majlis Keselamatan antara Moscow dan kuasa Barat yang menyokong kumpulan penentang dalam perang saudara selama lima tahun di Syria yang sudah meragut 300,000 nyawa.
Ini kali kelima Russia menggunakan kuasa veto untuk menghalang tindakan PBB terhadap perang di Syria.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:20 AM
No comments:
Post a Comment