Tuesday 20 December 2016

Lebih 5,000 keluar Aleppo

20 Disember 2016 12:28 AM


BEIRUT 19 Dis. - Selepas berjam-jam, malah berhari-hari menanti di sebalik cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan, lebih 5,000 penduduk Aleppo yang terkepung ekoran konflik di wilayah berdarah itu mampu melafazkan kesyukuran apabila berjaya dipindahkan.
Jumlah itu termasuk anak-anak yatim, sekali gus menjadi jumlah keseluruhan yang dipindahkan 12,000 orang setakat ini.
Menurut seorang pegawai perubatan, Dr. Ahmad Dbis, proses pemindahan di bahagian barat wilayah itu berjalan lancar sebaik sahaja 20 buah bas tiba untuk membawa mereka keluar dari wilayah yang dianggap oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon sebagai ‘ne­raka dunia’ itu.
Menurut Ahmad, 25 buah bas lagi tiba kira-kira dua jam selepas itu.
Ketika orang awam dipindahkan ke tempat selamat, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang membincangkan untuk menghantar pengawas yang akan menyelia pemindahan keluar secara besar-besaran.
Semalam, lebih 30 buah bas padat dengan warga Aleppo terpaksa menunggu hampir semalaman sebelum meninggalkan wilayah itu ketika cuaca sejuk semakin memburuk.
Bagaimanapun, hanya lima buah bas yang memuatkan kira-kira 350 penduduk dibenarkan melepasi pusat kawalan terakhir di Aleppo selepas campur tangan Rusia dan Turki.
Sementara itu, puluhan bas lain dikatakan gagal digerakkan dan terpaksa menunggu beratus-ratus lagi penduduk yang dijangka dipindahkan dari dua kawasan perkampungan di barat laut Syria.
Ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR), Rami Abdel Rahman pula mengesahkan, kira-kira 500 penduduk telah meninggalkan Fua dan Kefraya di Idlib ketika ini.
Dalam perkembangan ber­kaitan, lima lelaki bersenjata dilaporkan bertindak membakar lima buah bas yang sepatutnya digunakan untuk mengangkut penduduk di Idlib.
Jelas Rami, ekoran insiden itu, proses untuk membawa le­bih ramai penduduk Idlib keluar dari wilayah tersebut terpaksa ditangguhkan.
Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke dalam media sosial menunjukkan, lelaki-lelaki berjambang yang memegang senjata menjerit kegembiraan selepas membakar bas-bas tersebut sebelum mereka sampai ke perkampu­ngan berkenaan.
Media-media tempatan kemudian menyifatkan perbuatan kejam itu sebagai ‘keganasan bersenjata’ iaitu istilah yang digunakan oleh semua penentang Presiden Syria, Bashar al-Assad yang dipercayai mendalangi serangan itu.
Dalam pada itu, Majlis Ke­selamatan Per­tubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan draf resolusi berkaitan pengawasan proses pemin­da­han penduduk Aleppo itu semalam. – AFP/REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lebih-5-000-keluar-aleppo-1.421963#sthash.Wk4SSkYk.dpuf

No comments:

Post a Comment