Sunday, 6 September 2015

Bapa Aylan Kurdi Kembali Ke Syria


Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 12:04 PM

DAMSYIK: Kesedihan akibat kehilangan isteri serta dua anak lelakinya menyebabkan Abdullah Kurdi menolak tawaran untuk kerakyatan oleh kerajaan Kanada.
Abdullah adalah bapa kepada kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi yang terkorban dalam tragedi bot terbalik dan mayatnya ditemui di pesisir pantai Turki berdekatan sebuah resort di Bodrum pada 2 September 2015 yang tersebar di media sosial.
Selain Aylan, Abdullah juga kehilangan isteri dan seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun dalam insiden menggemparkan itu.
Susulan kejadian menyayat hati, Abdullah dilaporkan telah kembali ke bandar kelahirannya di Kobani, Syria untuk mengebumikan keluarganya.
"Dia mahu ke Eropah demi kehidupan lebih baik untuk anak-anaknya. Tetapi, kini mereka telah tiada dan Abdullah memutuskan untuk terus tinggal di sini kerana mahu berada dekat dengan pusara keluarganya," kata pakciknya, Suleiman Kurdi katanya kepada Press TV.
Difahamkan, keluarga Abdullah adalah antara 12 pemohon suaka yang maut ketika cuba untuk merentasi Laut Aegean dari Turki menuju ke Pulau Kos pada Rabu lalu.
"Laut bergelora dan ombak sangat tinggi ketika itu hingga menyebabkan bot yang membawa 23 pelarian Syria termasuk kami sekeluarga terbalik. Ia berlaku terlalu pantas dan saya hanya dapat memeluk mayat mereka," katanya dalam nada sedih.
Gambar jenazah Aylan dalam keadaan kaku di tepi pantai itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mula bimbang dengan nasib kumpulan pelarian dari zon konflik di Afrika dan Timur Tengah.
Berpakaian t-shirt merah dan seluar biru, mangsa yang berusia 3 tahun dari bandar Kurdish-Syrian itu dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece, namun lemas apabila bot dinaiki mereka karam.

Pemimpin antiregim antara 26 maut serangan bom di Syria


PEGAWAI polis dan penyelamat serta penduduk memeriksa tapak pengeboman kereta di pinggir Swieda, Syria.
BEIRUT: Angka kematian serangan dua bom kereta yang menggegarkan pinggir bandar Sweida, Syria hari ini meningkat kepada 26 orang termasuk pemimpin terkenal antiregim Syria, Sheikh Wahid al-Balous.
"Angka kematian susulan serangan bom di pinggir Sweida kini meningkat kepada 26 orang, manakala 50 lagi cedera," kata Rami Abdel Rahman, ketua Badan Pemerhati Hak Asasi Syria.
Abdel Rahman sebelum itu berkata, Sheikh Wahid al-Balous, yang sering mengkritik kedua-dua rejim iaitu kerajaan Syria dan kumpulan Islam, terbunuh dalam serangan itu ketika mangsa dikatakan sedang memandu ke arah bandar itu.
Bom kedua meledak berdekatan sebuah hospital di Dahr al-Jabal.
Agensi berita rasmi Syria, SANA dalam laporan awal menyebut, lapan orang terbunuh manakala 22 lagi cedera.
Sweida adalah bandar yang didiami kumpulan minoriti Druze yang mewakili tiga peratus daripada 23 juta penduduk di Syria.
"Balous adalah ketua kepada kumpulan Sheikhs of Dignity yang bertanggungjawab dalam melindungi kawasan Druze di Syria," kata Malek Abu Kheir, seorang wartawan dari Sweida yang mengenali Balous.
Sheikhs of Dignity adalah kumpulan militan paling kuat di kawasan itu dan mereka memerangi kumpulan Negara Islam (IS) dan serpihan Al-Qaeda Syria. - AFP

Saturday, 5 September 2015

Bas Angkut Pelarian Syria


Diterbitkan: Sabtu, 5 September 2015 12:28 PM

BUDAPEST: Kerajaan Hungary menyediakan bas untuk membawa pelarian memasuki sempadan Austria, kata jurucakap perdana menteri, Viktor Orban pada lewat Jumaat.
Bas berkenaan telah dihantar ke beberapa stesen kereta api sekitar Budapest, selain kira-kira 1,200 pelariang lain yang berjalan menuju ke sempadan negara itu.
"Bagaimanapun, ini tidak bermakna dengan mudah mereka boleh meninggalkan negara ini.
"Kami sedang menunggu maklum balas kerajaan Austria," kata Ketua Staf Janos Lazar pada sidang media.
Selain menaiki bas, ribuan lagi pelarian terbabit yang berjalan kaki menuju ke sempadan untuk memasuki Austria.
Sebelum ini, di Bricske dilaporkan ratusan pelarian masih tidak berputus asa untuk memasuki Eropah Barat hingga berlaku pergelutan dengan pihak polis di stesen kereta api yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sini.
Mereka dikatakan enggan turun daripada kereta api berkenaan, mendorong polis menggunakan kekerasan.
Kebanyakan pendatang asing di kalangan warga Syria itu bertindak balas terhadap pasukan keselamatan kerana enggan dibawa ke kem tahanan.
Kereta api yang sarat dengan pelarian itu dalam perjalanan ke Austria sebelum berhenti secara mengejut di Bicske.
Menurut saksi, kebanyakan pelarian bersama ahli keluarga mereka berbaring di landasan kereta api dan selebihnya melarikan diri.
"Remaja dan lelaki dewasa sedaya upaya berpaut kepada pemegang kereta api apabila polis cuba mengeluarkan mereka secara paksa.
"Sementara ibubapa cuba menenangkan anak-anak mereka yang menangis," kata saksi seperti dilapor CNN.

Polis, pelarian bertempur


Polis, pelarian bertempur
 Seorang pelarian remaja menumbuk individu yang cuba memaksanya turun dari kereta api yang berhenti di Bicske.
5 SEPTEMBER 2015
BICSKE - HUNGARY. Tolak-menolak antara polis Hungary dan pelarian di sebuah stesen kereta api di Budapest, kelmarin bertukar menjadi pertempuran.

Ratusan pendatang yang cuba memasuki Eropah Barat enggan turun daripada kereta api berkenaan, memaksa polis menggunakan kekerasan selepas arahan mereka tidak diendahkan pelarian terbabit.

Kebanyakan pelarian adalah warga Syria yang enggan dihantar ke kem tahanan.

Difahamkan, kereta api tersebut dalam perjalanan ke Austria sebelum berhenti secara mengejut di Bicske.

Saksi berkata, kebanyakan pelarian bersama ahli keluarga mereka berbaring di landasan kereta api dan selebihnya melarikan diri dengan berjalan kaki.

Bandar Bicske terletak kira-kira 40 kilometer dari Budapest.

"Remaja dan lelaki dewasa sedaya upaya berpaut kepada pemegang kereta api apabila polis cuba mengeluarkan mereka secara paksa.

"Sementara ibu-bapa cuba menenangkan anak-anak mereka yang menangis ketakutan," kata saksi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Parlimen Eropah, Martin Schulz berkata negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dengan jumlah penduduk lebih 500 juta orang boleh menampung sejumlah besar pelarian tanpa masalah.

"Tiada masalah asalkan pelarian tidak tertumpu atau berpusat hanya di beberapa negara sahaja," katanya. - CNN

Dasar luar Barat punca krisis migran


Vladimir Putin
Vladimir Putin
5 SEPTEMBER 2015

MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan dasar luar negara Barat yang tidak sempurna perlu dipersalahkan dalam krisis migran di Eropah.

Menurut Putin, Rusia sering memberi amaran tentang masalah utama di Eropah akibat dasar Barat yang tidak betul dan penyebaran keganasan di Timur Tengah serta Afrika Utara.

"Beberapa tahun lalu kami di Rusia pernah berkata bahawa masalah berleluasa akan wujud jika rakan Barat kami terus mengekalkan dasar luar mereka terutamanya di kawasan dunia Islam, Timur Tengah dan Afrika Utara," katanya.

Katanya lagi, krisis pelarian yang berlaku di Kesatuan Eropah (EU) ketika ini bukanlah satu kejutan tetapi ia sesuatu yang telah dijangka.

Putin berkata, kecacatan utama dasar luar Barat adalah pelaksanaan standard di seluruh dunia tanpa mengambil kira ciri-ciri sejarah, agama, bangsa dan budaya.

Baginya, satu-satunya cara untuk menangani aliran migran ke Eropah adalah menarik balik keganasan dan pada masa sama mengekalkan kedaulatan negara yang dilanda pergolakan serta menolak sebarang tindakan unilateral dalam hal itu.

"Jika kita bertindak secara unilateral dan berhujan tentang prinsip seakan demokratik bagi kawasan tertentu, ia hanya membawa kepada kebuntuan lebih besar," katanya. - Press TV

Eropah bukan negara selamat


Eropah bukan negara selamat
 Seorang wanita membawa anaknya ditangkap polis tempatan selepas kereta api dinaiki dari Budapest menuju ke sempadan Austria ditahan di barat ibu negara Hungary. - Foto AFP
5 SEPTEMBER 2015


BRUSSELS - BELGIUM. Pelarian dinasihatkan tidak membahayakan nyawa anak-anak mereka dengan cuba memasuki Eropah, menurut Perdana Menteri Hungary Viktor Orban, kelmarin.

Orban juga menegaskan negara itu tidak mahu menerima migran Islam dan menepis insiden seorang kanak-kanak Syria lemas di pantai Turki yang menjadi perhatian dunia minggu ini sebagai sebab untuk membuka pintu Eropah.

"Kami mempunyai hak untuk memutuskan bahawa kami tidak mahu pendatang Islam yang ramai di negara ini.

"Kami tidak suka akibat mempunyai sejumlah besar masyarakat Islam seperti yang dilihat di negara lain dan saya tidak nampak sebarang sebab mengapa orang lain perlu memaksa kami lakukan perkara yang tidak kami ingini," katanya.

Menurutnya, pendatang berdepan risiko jika datang ke Eropah dan menyifatkan Turki adalah sebuah negara yang selamat untuk didiami serta lebih baik untuk anak-anak dan diri mereka sendiri. - Reuters

Tiga menara kuno pula dimusnah


Damsyik: Tiga menara makam kuno dimusnahkan militan Negara Islam (IS) di Palmyra dalam tempoh beberapa hari lalu, kata pegawai kerajaan Syria, semalam.

Makam menara itu dibina di kawasan tinggi dengan mempunyai ciri unik bandar era pemerintahan Rom.

Ketua Antikuiti dan Jabatan Muzium Damsyik, Maamoun Abdulkarim semalam berkata, antara yang dimusnahkan ialah menara Elahbel yang dibina pada 103 Masihi, 10 hari lalu.

Katanya, maklumat itu berdasarkan saksi dan imej satelit yang disediakan Schools of Oriental Research di Boston.

Dalam laporan yang dikeluarkan Khamis lalu, ASOR Syrian Heritage Initiative berkata kumpulan IS memusnahkan tujuh makam menara sejak akhir Jun lalu. Kali terakhir kemusnahan itu berlaku antara 27 Ogos dan 2 September.

“Secara keseluruhannya, kerosakan pada makam tidak hanya terbatas kepada kawasan tunggal di Lembah Makam itu, sebaliknya tersebar ke beberapa lokasi menyebabkan beberapa menara turut musnah namun ada yang lain masih kukuh,” katanya menunjukkan imej satelit sebelum dan selepas kerosakan.

Militan mendakwa peninggalan purba dan tapak ibadah itu menggalakkan penyembahan berhala. Mereka juga memusnahkan tanah perkuburan moden dan tempat dianggap suci di sekitar bandar itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:07 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75275#sthash.2oQPlcze.dpuf

Britain buka pintu untuk ribuan pelarian


Lisbon: Perdana Menteri Britain David Cameron semalam berkata, Britain bersetuju menerima ribuan lagi pelarian Syria selepas imej kanak-kanak yang mati lemas terdampar di pantai mencetuskan simpati di negaranya.

Jurucakap agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tindakan Britain dilihat mampu mengubah kehidupan 4,000 pelarian Syria.

Dalam pada Eropah berdepan krisis migran dan pelarian dari Asia Barat serta Afrika, ada rakyat Britain menuduh kerajaan Cameron tidak peka terhadap isu golongan berkenaan, malah ada ahli Parlimen Parti Konservatif pimpinannya turut mendesak menerima lebih ramai pelarian.

“Memandangkan betapa teruknya krisis ini dan penderitaan mereka, saya mengesahkan kami boleh melakukan lebih banyak untuk membantu ribuan pelarian Syria,” katanya selepas menemui rakan sejawat di Lisbon.

Kira-kira 5,000 pelarian Syria mendapat suaka di Britain sejak perang bermula di negara itu manakala 216 lagi dibawa ke situ mengikut skim pemindahan disokong PBB.

Negara Eropah lain seperti Jerman dan Sweden setakat ini mengambil lebih ramai pelarian berbanding Britain. Jerman saja menjangkakan 800,000 membuat permohonan suaka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:06 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75274#sthash.vJf6XgmH.dpuf

Eropah bertanggungjawab!

Ankara: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menyelar negara Kesatuan Eropah (EU) dan menuduh mereka menjadikan Laut Mediterranean ‘kubur’ untuk migran.
Beliau juga bertata, Eropah bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran.
“Negara Eropah yang menjadikan Laut Mediterranean kubur migran dan bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran,” katanya ketika bercakap di Ankara.
Turki memberikan perlindungan kepada kira-kira 1.8 juta pelarian Syria dan sering kali menuduh Eropah tidak melakukan secukupnya untuk berkongsi beban itu.
“Negara Eropah yang menetapkan kriteria untuk hak asasi dan kebebasan manusia tetapi kini mereka enggan melaksanakan prinsip itu.
“Kami berpendapat adalah tidak adil untuk kami sahaja memikul beban yang kini dihadapi seluruh dunia,” katanya.
Recep berkata demikian selepas imej mayat seorang kanak-kanak Syria yang terdampar di pantai negara itu tersebar di seluruh dunia.
“Mayat seorang kanak-kanak yang mati dalam bot di Laut Meditteranean dihanyutkan ke pantai kami,” katanya.
Kerajaan Turki sebelum ini berkata, pengawal pantai negara itu menyelamatkan lebih 42,000 migran di Laut Aegean sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan lebih 2,160 pada minggu lalu saja.
Sementara itu, di Paris, Menteri Luar Perancis Manuel Valls berkata, gambar kanak-kanak Syria yang mati lemas di pantai Turki itu menunjukkan perlunya tindakan segera dilakukan oleh Eropah bagi menangani krisis migran.
“Kanak-kanak itu ada nama: Alyan Kurdi. Tindakan segera perlu diambil oleh Eropah,” kata Valls dalam akaun Twitternya, semalam.
Alyan bersama-sama abangnya, Galip, lima dan ibu Rihan, mati lemas selepas bot mereka karam ketika dalam pelayaran ke Eropah untuk melarikan diri dari perang saudara di Syria.
Bapanya dilapor terselamat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:15 AM


SEORANG migran yang memaut anaknya ditahan di Bicske, Hungary, semalam. Lebih 160,000 pendatang dan pelarian tiba di Hungary tahun ini, menerusi sempadan Serbia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75132#sthash.8UrNrz2S.dpuf

Kanak-kanak imigran mangsa lemas dikebumi


AFP - ABDULLAH (kanan) dilihat sugul semasa mengebumikan jenazah salah seorang anaknya di sebuah tapak perkuburan di Kobani, Syria semalam.


DAMSYIK – Bapa kepada dua anak lelaki yang lemas di perairan Turki dalam tragedi yang menyayat hati masyarakat dunia mengebumikan anak lelakinya, seorang lagi anak dan isterinya dalam satu upacara pengebumian di bandar Kobani di sempadan Syria semalam, kata seorang saksi.
“Aylan Shenu, abangnya dan ibu mereka dikebumikan hari ini (semalam) di Kobani di hadapan orang ramai. Semua orang sedih dan ada yang menangis, kata seorang wartawan tempatan, Mustefa Ebdi yang turut menghadiri pengebumian itu.
Menurut Mustefa, ketiga-tiga mereka yang berketurunan Kurdis cuba menuju ke Greece dengan menaiki sebuah bot dari Turki.
Aylan yang berusia tiga tahun dan abangnya, Ghaleb, 4, serta ibu mereka, Rihana ditemui mati lemas di perairan di Turki pada Rabu lepas semasa cuba memasuki Eropah dengan menyeberangi Laut Aegean.
“Bagaimanapun, bapa mereka, Abdullah Kurdi terselamat dan kelihatan putus asa serta sugul semasa berucap dalam satu perhimpunan yang dihadiri beratus-ratus orang,” kata Mustefa.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa ekoran tragedi ini. Saya hanya menyalahkan diri sendiri. Saya perlu membayar harga untuk ini (kehilangan anak-anak dan isteri) sepanjang hidup saya,” katanya.
Menurut Abdullah, dua anaknya cuma segelintir daripada begitu ramai mangsa konflik di Syria yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
Sehubungan itu, dia merayu supaya jalan penyelesaian konflik tersebut dicari.
Sementara itu di Hungary pula, lebih 1,000 imigran yang terkandas selama berhari-hari di sebuah stesen kereta api utama di Budapest bertindak meninggalkan bangunan itu dengan berjalan kaki untuk menyeberangi sempadan Austria, kata seorang wartawan di lokasi kejadian.
Kumpulan imigran termasuk individu berkerusi roda dan tongkat sanggup meredah perjalanan sejauh 175 kilometer untuk memasuki negara Eropah tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3koLRIYmr 
Hakcipta terpelihara 

Friday, 4 September 2015

30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya - IOM

TENTERA Libya mengawasi sebilangan pendatang haram yang berjaya di selamatkan di perairan Libya. - Foto REUTERS
JUMAAT, 4 SEPTEMBER 2015 @ 6:10 PM
ROME: Sekurang-kurangnya 30 pendatang dikhuatiri lemas di perairan Libya selepas bot getah mereka karam, menurut Pertubuhan Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM).
Seramai 91 orang yang diselamatkan pengawal pantai Itali menyatakan bot mereka membawa antara 120 dan 140 orang apabila ia mula kempis, sekali gus mencetuskan panik dan menyebabkan beberapa orang jatuh ke laut. - AFP

Kisah menyayat hati pelarian dua beradik


Kisah menyayat hati pelarian dua beradik
Kisah menyayat hati pelarian dua beradik Aylan (atas, kiri) dan Galip Kurdi.
3 SEPTEMBER 2015


BERITA penemuan mayat seorang kanak-kanak yang juga salah seorang pelarian dari Syria, Aylan Kurdi meruntun hati pembaca dan pelayar di laman sosial.

Aylan, 3, adik kepada Galip Kurdi, 5 adalah antara dua-beradik yang mati lemas selepas bot mereka karam dan ditemui hanyut di pantai Bodrum, Turki.

Foto Aylan tersebut dikongsi di laman Twitter dengan kapsyen 'kemanusiaan hanyut di pantai'.

"Ya ALLAH, hati saya pecah berderai melihat foto ini," kata Ena.

"Tolonglah lindungi dan selamatkan mereka semua..subhanallah," kata Sabrina.

Sementara itu, seramai lima kanak-kanak dan seorang wanita disahkan maut dalam usaha mereka menuju ke pulau Kos, Greek, lapor Reuters.

Media Turki melaporkan Aylan dan Galip berasal dari Kobani, sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki.

Lembaga Keselamatan Kebangsaan Turki memberitahu, hampir 100 pelarian diselamatkan oleh kapal penyelamat Turki, malam kelmarin.

Budak Syria mati lemas


Budak Syria mati lemas
Polis Turki mengangkat jenazah Aylan Kurdi yang ditemui tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum.
4 SEPTEMBER 2015

ANKARA - TURKI. Pengguna media sosial semalam digemparkan dengan penyebaran gambar mayat seorang budak lelaki yang terdampar di pesisir pantai Turki.

Gambar itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan berbaju kemeja-T dan berseluar pendek tertiarap di atas pasir berhampiran Bodrum, seolah-olah sedang nyenyak tidur.

Kanak-kanak berkenaan adalah 12 pelarian Syria yang terbunuh selepas bot dinaiki mereka karam ketika dalam perjalanan ke pulau Kos di Greece.

Media Turki mengenal pasti budak lelaki itu sebagai Aylan Kurdi berusia tiga tahun.

Laporan itu menambah, ibu dan abangnya berusia lima tahun turut terkorban dalam tragedi berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Turki berkata, dua bot membawa 23 orang itu bertolak berasingan dari Akyarlar di semenanjung Bodrum.

"Mereka yang maut termasuk lima kanak-kanak dan seorang wanita. Hanya sembilan orang sahaja yang terselamat, dua yang menggunakan jaket keselamatan berjaya berenang ke pantai," katanya dalam laporan BBC.

Pihak berkuasa tidak meletakkan harapan tinggi menemui dua lagi yang masih hilang.

Di sini Aylan berakhir


Ankara: Sejak tahun lalu, puluhan ribu pelarian berkubur dalam Laut Mediterranean namun ia tidak memberi kesan kepada negara Eropah sehinggalah gambar mayat Aylan yang berusia tiga tahun terdampar di tepi pantai mencetuskan simpati pemimpin Eropah yang sudah mengambil beberapa tindakan membantu pelarian.

Gambar mayat Aylan Kurdi, yang tersebar melalui media sosial serta menjadi tajuk utama berita TV dan akhbar di seluruh dunia bagaikan menceritakan betapa terdesaknya pelarian dari Timur Tengah yang negara mereka diancam peperangan mahu melarikan diri ke Eropah.

Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.

Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam tetapi ia karam kira-kira 30 minit kemudian dekat Pulau Kos di Greece.

Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Abdullah Kurdi terselamat.

Menurut bapa Aylan, berkata bot mereka amat sarat menyebabkan ia terbalik dipukul ombak.

Abdullah berkata, kapten bot itu yang panik apabila bot kecil dilanda ombak besar, terjun ke dalam laut.

“Saya mengambil alih mengemudi bot tetapi ombak amat besar dan bot terbalik. Selepas itu saya sedar dua anak dan isteri saya sudah lemas,” katanya kepada AP.

Kesedihan dan kepiluan melihat gambar Aylan tertiarap kaku di pantai mencetuskan perbahasan dalam kalangan pemimpin Eropah yang mendesak tindakan segera diambil bagi mengatasi krisis pelarian, terutama dari Syria.

Namun, selagi perang saudara di Syria masih berterusan, ribuan rakyat negara itu akan terus menggadai nyawa setiap hari cuba ke Eropah melalui Laut Mediterranean menaiki bot nelayan yang usang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 11:20 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75059#sthash.xtDkPYyJ.dpuf

Kematian dua beradik buka mata Eropah

Paris: Berikutan kematian budak lelaki berusia tiga tahun dari Syria yang gambar mayatnya terdampar di pantai Turki menyebabkan Perdana Menteri Perancis Manuel Valls mendesak negara-negara Eropah mengambil langkah segera mengatasi krisis kebanjiran ratusan ribu pelarian di benua itu.
“Dia mempunyai nama. Alyan Kurdi. Tindakan segera diperlukan oleh negara-negara Eropah,” katanya melalui Twitter hari ini.
Gambar mayat Alyan yang terdampar di pantai peranginan Aegean di Bodrum, Turki, tersebar luas melalui media sosial, malah menjadi tajuk utama siaran berita televisyen dan akhbar mencetuskan simpati serta desakan pemimpin Eropah bertindak membantu pelarian.
Alyan bersama keluarganya, iaitu bapa, ibunya Rehan dan abangnya Galip berusia lima tahun dalam dalam perjalanan mahu berhijrah ke Kanada meninggalkan bandar Kobani di Syria yang musnah akibat perang.
Mereka menaiki bot yang sesak dengan pelarian dari Bodrum, Turki, semalam. Bagaimanapun, kira-kira 30 minit kemudian bot berkenaan karam dekat Pulau Kos di Greece.
Alyan mati lemas bersama abang dan ibunya, hanya bapanya Kurdi Abdullah terselamat. Mayat Alyan dihanyutkan ke Pantai Ali Hoca Point di Bodrum dan ditemui hari ini.
Itali, Perancis dan Jerman sudah menandatangani dokumen mendesak peraturan Kesatuan Eropah (EU) terhadap pemberian sukan politik, dikaji semula.
Canselor Jerman, Angela Merkel, meminta negara dalam EU menerima lebih banyak pelarian.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve, berkata negara itu menjadi pendahulu menguruskan bantuan kepada pelarian dan sudah memperbaharui syarat suaka politik dan menyediakan 8,000 pusat pendaftaran untuk tujuan itu. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 7:30 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75032#sthash.eMmO9Rvd.dpuf

Libya selamat 104 pendatang


Tripoli: Pasukan pengawal pantai Libya menyelamatkan lebih 100 pendatang Afrika yang menaiki sebuah bot getah yang sarat dan hampir karam di perairan Tripoli semalam.

“Kami menyelamatkan 104 pendatang Afrika termasuk 14 wanita yang dalam pelayaran menuju ke Eropah.

“Majoriti mereka dari Sierra Leone dan Nigeria,” kata jurucakap pengawal pantai, Mohamad Dandi.

Ujarnya, operasi menyelamat bot berkenaan yang dikesan pada kedudukan tujuh batu nautika dari Garabulli dilakukan selepas tengah malam semalam.

Menurutnya, pendatang berkenaan menaiki bot yang muat untuk membawa 35 orang.

“Bot itu hampir tenggelam akibat bocor ketika kami sampai untuk menyelamat,” jelasnya.

Media tempatan melaporkan, semua pendatang itu dilihat dihantar ke stesen tentera laut di Tripoli.

Sejak bertahun-tahun, Libya yang mempunyai garisan pantai sepanjang 1,770 kilometer menjadi transit untuk pendatang Afrika ke Eropah bagi mencari kehidupan yang lebih baik.

Ramai pendatang menuju ke pulau Lampedusa yang terletak kira-kira 300 kilometer dari Libya.

Sindiket penyeludupan manusia mengambil kesempatan daripada kekacauan politik di Libya yang tercetus sejak 2011 bagi meningkatkan operasi mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:14 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75130#sthash.XY300rTV.dpuf

Eropah bertanggungjawab!

Ankara: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam menyelar negara Kesatuan Eropah (EU) dan menuduh mereka menjadikan Laut Mediterranean ‘kubur’ untuk migran.
Beliau juga bertata, Eropah bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran.
“Negara Eropah yang menjadikan Laut Mediterranean kubur migran dan bertanggungjawab terhadap setiap kematian migran,” katanya ketika bercakap di Ankara.
Turki memberikan perlindungan kepada kira-kira 1.8 juta pelarian Syria dan sering kali menuduh Eropah tidak melakukan secukupnya untuk berkongsi beban itu.
“Negara Eropah yang menetapkan kriteria untuk hak asasi dan kebebasan manusia tetapi kini mereka enggan melaksanakan prinsip itu.
“Kami berpendapat adalah tidak adil untuk kami sahaja memikul beban yang kini dihadapi seluruh dunia,” katanya.
Recep berkata demikian selepas imej mayat seorang kanak-kanak Syria yang terdampar di pantai negara itu tersebar di seluruh dunia.
“Mayat seorang kanak-kanak yang mati dalam bot di Laut Meditteranean dihanyutkan ke pantai kami,” katanya.
Kerajaan Turki sebelum ini berkata, pengawal pantai negara itu menyelamatkan lebih 42,000 migran di Laut Aegean sepanjang lima bulan pertama tahun ini dan lebih 2,160 pada minggu lalu saja.
Sementara itu, di Paris, Menteri Luar Perancis Manuel Valls berkata, gambar kanak-kanak Syria yang mati lemas di pantai Turki itu menunjukkan perlunya tindakan segera dilakukan oleh Eropah bagi menangani krisis migran.
“Kanak-kanak itu ada nama: Alyan Kurdi. Tindakan segera perlu diambil oleh Eropah,” kata Valls dalam akaun Twitternya, semalam.
Alyan bersama-sama abangnya, Galip, lima dan ibu Rihan, mati lemas selepas bot mereka karam ketika dalam pelayaran ke Eropah untuk melarikan diri dari perang saudara di Syria.
Bapanya dilapor terselamat.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:15 AM


SEORANG migran yang memaut anaknya ditahan di Bicske, Hungary, semalam. Lebih 160,000 pendatang dan pelarian tiba di Hungary tahun ini, menerusi sempadan Serbia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75132#sthash.YwiRO8mv.dpuf

Eropah dikecam enggan terima pelarian

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak

Seorang polis Turki berdiri berhampiran mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria yang terdampar di pantai Bodrum, selatan Turki, kelmarin sehingga menjadi perbualan hangat di laman sosial. AFP
ISTANBUL 3 Sept. – Beberapa keping gambar yang merakamkan mayat seorang kanak-kanak pelarian Syria terdampar di pinggir pantai Turki, semalam selepas bot yang dinaikinya bersama-sama pelarian lain, karam dan menggemparkan dunia.
Gambar yang memilukan itu dirakam oleh agensi berita Dogan, menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak sudah tidak bernyawa terbaring di pesisir pantai berhampiran Bodrum, salah satu pusat peranginan utama di negara ini, sebelum mayat tersebut diambil oleh pihak polis.
Gambar itu tersebar meluas di laman sosial, sehinggakan hastag #KiyiyaVuranInsanlik atau `Kemanusiaan terdampar di pesisir pantai’ menjadi topik perbualan utama di seluruh dunia.
Imej yang menyayat hati itu turut menjadi berita utama di dada-dada akhbar utama Britain yang mengecam krisis pelarian di Eropah ketika ini.
“Jika gambar mengejutkan tentang kematian seorang kanak-kanak Syria terdampar di pantai tidak mengubah sikap Eropah terhadap krisis pelarian, apa yang dapat mengubah pendirian mereka?,” kata pengarang akbar Independent.
Akbar berkenaan kemudian mengemukakan satu petisyen menggesa Britain menerima kehadiran pelarian di negara tersebut, dengan lebih 10,000 tandatangan berjaya dikumpulkan dalam masa satu jam.
Sebelum ini, London dikritik kerana menerima kehadiran pelarian pada kadar yang sangat rendah berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/eropah-dikecam-enggan-terima-pelarian-1.131460#sthash.YQep1Sen.dpuf

13 juta kanak-kanak tiada pendidikan

gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak

Gambar fail bertarikh 19 Julai lalu merakamkan pelarian kanak-kanak Syria bermain sesama mereka di kem pelarian di sempadan Syria-Jordan berhampiran bandar Mafraq, Jordan. AGENSI
AMMAN 3 Sept. - Lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan sempurna ekoran konflik berterusan di rantau Asia Barat, sekali gus boleh menyebabkan masa depan generasi itu lenyap, jika golongan itu tidak kembali ke alam persekolahan.
Menurut laporan Dana Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kesan peperangan di enam negara di rantau tersebut menyebabkan lebih 8,500 buah sekolah tidak lagi beroperasi ekoran faktor keselamatan dan keganasan.
Pengarah UNICEF untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Peter Salama yang memetik laporan itu menjelaskan bahawa situasi meruncing berkenaan berlaku ekoran risiko yang dihadapi pelajar dan guru terkena tembakan dan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan penduduk daripada serangan bom.
“Konflik di rantau Asia Barat yang berterusan menyebabkan lebih 13 juta kanak-kanak tidak mendapat pendidikan, sekali gus meletakkan masa depan generasi muda ini dalam bahaya,” jelas UNICEF.
Menurutnya, kanak-kanak sekolah juga berdepan risiko ditembak ketika melintas zon peperangan semasa mahu mengambil peperiksaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.
“Bukan sahaja kerosakan fizikal berlaku terhadap sekolah akibat perang, tetapi kekecewaan turut dirasai oleh generasi muda yang melihat harapan dan masa depan mereka musnah,” katanya.
Tahun lalu sahaja, UNICEF merekodkan sebanyak 214 serangan dilancarkan ke atas sekolah-sekolah di Syria, Iraq, Libya, Palestin, Sudan dan Yemen.
Di Syria, UNICEF melaporkan, sektor pendidikan terjejas teruk disebabkan peperangan antara tentera kerajaan dan kumpulan penentang sejak lebih empat tahun lalu.
Secara puratanya, satu daripada empat buah sekolah ditutup sejak konflik tercetus pada Mac 2011, mengakibatkan lebih dua juta kanak-kanak terpaksa berhenti belajar dan hampir setengah juga lagi berdepan risiko kehilangan pendidikan.
“Satu daripada serangan paling buruk berlaku di sebuah sekolah di Yemen apabila 13 guru dan empat kanak-kanak terbunuh dalam satu serangan di sebuah pejabat guru di bandar Amran.
“Pembunuhan, penculikan dan penahanan guru, pelajar dan kakitangan sekolah berlaku secara berleluasa di rantau ini,” tambah laporan terbabit.
Di Gaza, serangan tentera Israel selama 50 hari ke Gaza pada tahun lalu, menyaksikan 281 buah sekolah di wilayah Palestin itu rosak dan lapan buah lagi musnah sepenuhnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/13-juta-kanak-kanak-tiada-pendidikan-1.131458#sthash.4e5vzzMC.dpuf

Thursday, 3 September 2015

10 maut serangan bom kereta di Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 11:53 PM


DAMSYIK: Sepuluh maut manakala berpuluh yang lain cedera selepas insiden pengeboman kereta di Latakia, Syria, kubu kuat bahagian pesisir pantai Presiden Bashar al-Assad, semalam.

Agensi berita SANA melaporkan, pengganas meletupkan kereta sarat dengan bahan letupan pada tengah hari (0900 GMT) di dataran Hamam di Latakia.

Difahamkan, letupan itu turut mencederakan 25 yang lain dan menyebabkan kerosakan teruk kereta serta bangunan berdekatan.

Televisyen kerajaan memaparkan rakaman kereta musnah dengan tingkap pecah ketika anggota bomba memadam kebakaran.

Latakia adalah kawasan minoriti puak Alawiah, keturunan Assad. Namun, puak itu jarang terbabit dengan keganasan yang memusnahkan Syria sejak kebangkitan menentang rejim tercetus pada Mac 2011.

SANA melaporkan, pegawai rasmi menemui dua kereta penuh dengan bahan letupan dan menahan mereka yang bertanggungjawab. -AFP

Wednesday, 2 September 2015

Gali runtuhan dengan tangan kosong

Damsyik: Seorang budak dan seorang lelaki terselamat daripada maut selepas berjaya di tarik keluar dari bawah runtuhan selepas serangan udara terhadap kedudukan pemberontak di Saqba, utara Ghouta, oleh pesawat kerajaan, Ahad lalu.
Kedua-dua mangsa yang tertimbus sepenuhnya di bawah ketulan batu runtuhan bangunan berjaya ditarik keluar oleh orang ramai dengan sebahagiannya menggali tanah serta batu menggunakan tangan.

Rakaman video usaha menyelamat itu kini tersebar luas di media sosial
Serangan udara itu menyebabkan 15 orang awam terbunuh termasuk enam kanak-kanak.
Tentera udara Syria menggunakan bom tong dram iaitu bahan letupan dimasukkan ke dalam tong dram dan sudah mengenai sekolah, hospital dan pasar.
Lebih 240,000 orang terbunuh sejak perang saudara Syria bermula pada Mac 2011 dan separuh penduduk negara itu kini menjadi pelarian. - Daily Mail
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 6:32 PM


Orang ramai berusaha menarik keluar seorang budak dan lelaki dari bawah runtuhan sebelum mereka kelemasan selepas serangan udara di Saqba, utara Ghouta, Ahad lalu. - Foto Daily Mail
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/74766#sthash.gA6lwjjV.dpuf

Askar Turki terbunuh, seorang lagi hilang di sempadan Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 10:56 AM

ISTANBUL: Seorang askar Turki terbunuh manakala seorang lagi hilang selepas terkenan tembakan yang dilepaskan dari kawasan yang dikuasai militan IS di sempadan negara itu dengan Syria, menurut pihak tentera. Menurut kenyataan Angkatan Tentera Turki (TSK), askar berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan ketika dirawat di hospital susulan insiden di wilayah sempadan Kilis apabila tembakan dilepaskan dari kawasan yang dikuasai IS itu. "Perhubungan terputus dengan seorang lagi askar semasa pertempuran itu," menurut kenyataan itu. Usaha mencari askar berkenaan sedang dilakukan. Pihak tentera tidak menyatakan siapa yang melepaskan tembakan tetapi Gabenor Kilis, Suleyman Tapsiz, menyatakan sekumpulan penyeludup yang cuba memasuki Turki dari Syria, melepaskan tembakan itu. - AFP


PELARIAN menunggu untuk menyeberangi sempadan di antara bekas Republik Yugoslavia Macedonia dan Greece, berhampiran bandar Gevgelija. Perjalanan Gevgelija-Presevo hanya sebahagian daripada perjalanan pelarian, sebahagian besar daripada mereka dari Syria, terpaksa melalui koridor Balkan yang membawa mereka dari Turki, melalui Greece, Macedonia dan Serbia ke Hungary, pintu masuk ke Kesatuan Eropah. - Foto REUTERS

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78955

CIA, JSOC lancar misi dron buru pemimpin IS di Syria

RABU, 2 SEPTEMBER 2015 @ 11:51 AM

 DRON Amerika Syarikat yang dilengkapi senjata. - Gambar hiasan

WASHINGTON: CIA dan pasukan tentera khas Amerika Syarikat sedang melaksanakan kempen rahsia menggunakan dron dilengkapi senjata bagi menyasarkan pemimpin IS di Syria, menurut laporan The Washington Post. Menurut akhbar berkenaan, pegawai AS menyatakan program sulit itu adalah berasingan daripada operasi tentera AS terhadap pejuang IS. Antara mereka yang terbunuh ialah Junaid Hussain, seorang penggodam dari Britain yang Pentagon dakwa merekrut mereka yang bersimpati dengan IS bagi melakukan serangan secara bersendirian di negara Barat. Menurut laporan akhbar itu, program dron berkenaan membabitkan beberapa serangan yang dilancarkan Joint Special Operations Command (JSOC). Peranan utama CIA dalam operasi itu ialah mengenal pasti dan mengesan pemimpin IS. Menurut pegawai AS berkenaan, program itu menumpukan kepada "sasaran bernilai tinggi". Keputusan menggunakan Pusat Antikeganasan CIA (CTC) dan JSOC dalam operasi itu menunjukkan peningkatan kebimbangan berhubung penularan pejuang IS. CTC sebelum ini mengetuai pemburuan Osama bin Laden manakala JSOC membabitkan pasukan elit Navy SEAL yang melaksanakan misi membunuh pemimpin Al-Qaeda itu pada 2011. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/78963

Tinggalan sejarah berharga Syria musnah

Tinggalan sejarah berharga Syria musnah
Gambar satelit menunjukkan struktur utama kuil Bel di Palmyra musnah sepenuhnya selepas diletupkan, Ahad lalu.
DAMSYIK - SYRIA. Imej satelit dikeluarkan, kelmarin menunjukkan struktur utama kuil Bel di bandar purba Palmyra yang berusia hampir 2,000 tahun telah musnah sepenuhnya selepas ia diletupkan kumpulan militan IS, Ahad lalu.
Pengurus Jabatan Penganalisis Satelit Unosat, Einar Bjorgo mengesahkan kemusnahan melibatkan keseluruhan bahagian penting tinggalan bersejarah paling berharga di Syria itu.
"Imej tersebut amat penting bagi membolehkan Unesco memperoleh maklumat objektif mengenai situasi terkini di Palmyra yang turut disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh agensi di bawah PBB itu," katanya.
Minggu lalu, IS bertindak memusnahkan kuil Baalshamin dan tindakan yang dianggap sebagai jenayah perang itu turut dikutuk sekeras-kerasnya oleh Unesco.
Dalam perkembangan lain, kumpulan militan IS didakwa menjadikan saudara mara kepada jemaah yang menunaikan haji pada tahun ini sebagai tebusan mereka.
Saksi mendakwa tindakan itu dibuat untuk memastikan jemaah terbabit tidak melarikan diri dari bandar Mosul yang kini dikuasai sepenuhnya oleh IS selepas musim haji berakhir. - al-Arabiya

Friday, 28 August 2015

Bot Bawa Pelarian Karam Di Libya


Diterbitkan: Jumaat, 28 Ogos 2015 8:53 AM

TRIPOLI: Sebuah bot yang dipenuhi pelarian, karam di pesisir bandar Zuwara di Libya.

Dipercayai insiden berkenaan menyaksikan ratusan orang terkorban.

Seorang pegawai keselamatan di Zuwara berkata, beratus-ratus orang berada atas bot dan ada yang terperangkap ketika ia karam.

"Kira-kira 100 pendatang haram mungkin terselamat," katanya sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan.

Seorang pegawai lain dan seorang wartawan dari Zuwara mengesahkan berita itu tetapi tidak mempunyai maklumat jumlah korban.

Pegawai keselamatan itu berkata, semua pendatang dalam bot itu adalah dari negara Sahara Afrika, Pakistan, Syria, Magribi dan Bangladesh.

Gencatan senjata 48 jam


28 OGOS 2015Gencatan senjata 48 jam
Gencatan senjata 48 jam Gencatan senjata itu dikuatkuasakan selepas pertempuran semakin meningkat di Zabadani.

BEIRUT - LUBNAN . Gencatan senjata baharu selama 48 jam antara tentera prokerajaan Syria dan kumpulan pemberontak telah dipersetujui, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR), semalam.

Jurucakapnya memaklumkan pertempuran telah dihentikan selepas ia akan berkuatkuasa di Zabadani dan dua perkampungan Fuaa dan Kafraya.

Terdahulu, Setiausaha Agung parti Tadamun, Mohammed Abu Qassem dan pengantara rundingan tersebut mengesahkan gencatan senjata tersebut bermula pada jam 6 pagi (waktu tempatan).

Difahamkan, gencatan senjata pertama selama dua hari telah dikuatkuasakan pada 12 Ogos lalu, namun tempoh tersebut dilanjutkan selepas perunding gagal untuk mencapai persetujuan baharu.

Sebelum ini, rundingan itu turut berbincang mengenai penarikan semula kumpulan pemberontak dari Zabadani sebagai pertukaran untuk memindahkan orang awam dari Fuaa dan Kafraya atau menghantar bantuan kepada penduduk.

Selain itu, kumpulan pemberontak juga menuntut pembebasan tahanan dan perkara itu masih dalam perbincangan.

Fuaa dan Kafraya adalah satu-satunya perkampungan di wilayah Idlib, barat laut Syria yang masih dikuasai kerajaan selepas perikatan pemberontak semakin mara pada awal tahun lalu. - AFP

Gencatan senjata di Syria, Ukraine


Seorang askar Ukraine melancarkan serangan menggunakan pelancar
Seorang askar Ukraine melancarkan serangan menggunakan pelancar bom tangan di Avdiivka, Donetsk, baru-baru ini. AFP
BEIRUT 27 Ogos – Pihak bertelagah di Syria memulakan gencatan senjata selama dua hari berkuatkuasa hari ini di tiga lokasi utama bagi memberi laluan perbincangan menamatkan peperangan di kawasan terlibat.
Gencatan senjata yang kedua dilaksanakan pada bulan ini melibatkan tentera Syria dibantu kumpulan bersenjata Hezbollah dari Lebanon dan kumpulan penentang kerajaan Syria di pekan Zabadani bersempadan dengan Lebanon dan dua kampung iaitu Kefraya dan al-Foua di wilayah Idlib.
Selain itu, gencatan senjata ter­ba­bit dipersetujui bagi memberi ruang kepada kumpulan penentang berundur dari Zabadani dan pemindahan penduduk di dua kampung berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kerajaan Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia, menunjukkan tanda-tanda positif untuk melaksanakan gencatan senjata secara penuh bermula 1 September ini, sekali gus menamatkan keganasan antara kedua-dua pihak di timur Ukraine yang berlanjutan sejak lebih setahun lalu.
Perjanjian gencatan tersebut di­tandatangani pada Februari lalu se­bagai membuka laluan kepada penyelesaian secara politik termasuk usul mengadakan pilihan raya tempatan dan penubuhan sebuah pengurusan khas bagi wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.
Gencatan senjata itu diusahakan oleh wakil Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) dengan melibatkan wakil puak pemberontak, kerajaan Ukraine dan Rusia.
Pegawai OSCE, Martin Saidik berkata, ketiga-tiga pihak terbabit bersetuju terhadap kepentingan men­capai perjanjian gencatan senjata yang kukuh menjelang sesi persekolahan baharu.
Selain itu, ketua pemberontak, Vladislav Deinego menyuarakan harapan agar serangan meriam akan dihentikan bermula 1 September.
“Semua pihak menunjukkan petanda positif terhadap pelaksanaan penuh gencatan senjata yang dipersetujui ini,” katanya. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gencatan-senjata-di-syria-ukraine-1.129308#sthash.GNlaUFsT.dpuf